Siakap Keli
biodata syed danial
Gambar: Bernama/Majlis Raja-raja

Paling Ditunggu Setiap Tahun, Kenali Biodata Tan Sri Syed Danial & Fungsi Mohor Besar Raja-raja

Paling Ditunggu Setiap Tahun, Kenali Biodata Tan Sri Syed Danial & Fungsi Mohor Besar Raja-raja

Sehari sebelum Ramadan, orang ramai pasti akan menunggu kemunculan seorang individu di kaca televisyen sambil meneka warna pakaian baju Melayu yang diperagakan olehnya.

Individu yang dinanti-nantikan itu sudah semestinya Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang merupakan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Syed Danial bertanggungjawab mengumumkan tarikh permulaan puasa dan hari raya bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Ramai yang hanya mengenali Syed Danial sebagai individu yang menyampaikan tarikh-tarikh penting buat masyarakat Islam, namun tidak semua tahu mengenai latar belakangnya.

Difahamkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada waktu ini ialah penyandang ke-16, yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja pada Januari 2011.

Pelantikan itu berada di bawah peruntukan Perkara 38 Jadual V, Perlembagaan Persekutuan.

Oleh hal yang demikian, mari kenali serba sedikit mengenai Syed Danial, individu yang paling diingati ketika menjelang Ramadan.

BACA: Rasmi, Malaysia Mula Puasa Esok

Biodata Syed Danial Syed Ahmad

Kredit: Majlis Raja-Raja

Dilahirkan pada 30 November 1944, Syed Danial membesar di Georgetown, Pulau Pinang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kelawai.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Perak sehingga tamat persekolahan.

Selepas menamatkan sesi persekolahan, Syed Danial melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Malaya pada 1967.

Setelah itu, beliau meyambung pengajian akademiknya di luar negara di University of Wisconsin yang terletak di Amerika Syarikat.

Untuk menjadi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, seseorang itu perlulah menjadi pegawai kanan kerajaan yang masih berkhidmat atau bersara.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) selama 32 tahun di pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan.

Beliau juga pernah ditempatkan di negeri Sabah, Sarawak, Perak, Kedah dan Perlis semasa menjawat jawatan PTD pada Mei 1967 sehingga Disember 1999.

Selepas bersara pada 2002, Syed Danial dilantik untuk menjadi Datuk Paduka Maharaja Lela di Istana Negara sehingga 2004.

Kemudian, beliau menjadi Datuk Pengelola Bijaya Diraja pada tahun 2004 hingga 2006 dan seterusnya dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Ahli Majlis Angkatan Tentera di bawah peruntukan Perkara 137, Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi Mohor Besar Raja-raja

Kredit: Majlis Raja-Raja

Menerusi laman web Majlis Raja-Raja, Mohor Besar Raja-Raja ini mempunyai beberapa fungsi.

Untuk pengetahuan, Mohor Besar ini melambangkan kuasa dan hak institusi Majlis Raja-Raja. Ia melambangkan kuasa kerana terbit daripada sebuah badan teragung di negara ini.

Surat cara yang dimeterai dengan Mohor Besar melambangkan kepercayaan dan kuasa. Ia melambangkan kedaulatan surat cara tersebut.

Fungsi seterusnya, Mohor Besar juga membuktikan kesahihan asal usul sesuatu surat cara.

Ia disebabkan kesan terapan daripada Mohor Besar akan mengubahkan tekstur kertas, maka cap mohor ini dapat bertahan lebih lama daripada “cap getah” yang menggunakan dakwat yang tertera pada permukaan surat cara.

Oleh itu, setiap dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-raja perlu diturunkan dengan cap Mohor Besar.

Surat tersebut juga perlu diikuti dengan tandatangan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berserta dengan tarikh dokumen berkenaan dikeluarkan dan tempat Mohor Besar itu diturunkan.

Perkara tersebut dilakukan untuk mengesahkan bahawa surat cara atau dokumen tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Raja-raja menurut perintah Majlis Raja-raja.

Antara surat cara yang memerlukan penurunan Mohor Besar ini ialah surat cara yang memuatkan keputusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja yang dihantar kepada Yang Di-Pertua Dewan Negara, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

Yang kedua, surat cara lantikan Raja sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Akhir sekali ialah surat cara bagi pelantikan-pelantikan seperti termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.

Sumber: Majlis Raja-Raja

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana