Siakap Keli
rebut parking dibelasah
Gambar: New York Post

Rebut “Parking”, Tular Video Lelaki Parah Dibelasah & Ditikam 5 Kali

Rebut “Parking”, Tular Video Lelaki Parah Dibelasah & Ditikam 5 Kali

Seorang lelaki dilapor cedera parah selepas dipukul dan ditikam hanya kerana berebut tempat letak kereta, dalam kejadian yang berlaku di New York, Jumaat lepas.

Menurut laporan New York Post, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian otak dan terpaksa bergantung kepada ventilator ketika ini.

Terdahulu, sebuah video yang merakam insiden ganas lelaki itu dibelasah turut tersebar di media sosial. Menerusi video tersebut, dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dilihat membelasah mangsa dengan menggunakan kayu besball.

Salah seorang suspek dirakam memukul mangsa menggunakan kayu besball tersebut berulang-ulang kali, termasuk pada bahagian kepalanya. Manakala seorang lagi suspek dilihat menendang bahagian badan mangsa. Darah dipercayai dari mangsa pukul itu juga kelihatan di atas jalan.

Gara-gara rebut parking, lelaki parah dibelasah

Rakaman turut menunjukkan mangsa dilihat terguling-terguling di atas jalan dalam keadaan menahan sakit. Bagaimanapun, situasi itu tidak menghalang suspek daripada terus menyerangnya berulang kali.

Menerusi rakaman berdurasi 10 saat itu lagi, turut kedengaran suara dipercayai orang awam yang merayu kedua-dua suspek menghentikan tindakan tersebut. Beberapa individu lain juga dirakam berada berdekatan dengan lokasi kejadian.

Pihak polis turut mendedahkan mangsa telah ditikam sebanyak lima kali dalam serangan tersebut. Mangsa telah dikejarkan ke Elmhurst Hospital Center untuk menerima rawatan dan terpaksa menjalani pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya.

Kedua-dua suspek dilaporkan berjaya diberkas pihak berkuasa pada Isnin lalu. Menurut laporan NYP, kedua-dua suspek mengaku melakukan jenayah tersebut.

Salah seorangnya mengaku telah menumbuk, menendang, memukul, menikam dan menghiris mangsa menggunakan pisau. Suspek turut mengaku pulang ke rumah dengan senjata berkenaan.

Berdepan pertuduhan cubaan membunuh

Kedua-duanya kini berdepan dengan pertuduhan cubaan membunuh tahap dua dan tuduhan menyerang tahap satu dan tahap dua. Mereka juga ditahan reman sehingga perbicaraan bermula pada 23 Mac ini.

Salah seorang suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu menyerang orang awam dan pernah ditahan polis. Pada 4 April 2022, suspek ditahan kerana menarik keluar seorang lelaki dari kenderaannya dan menumbuk muka mangsa berulang kali menggunakan senjata buku lima.

Pada 11 April tahun yang sama, suspek turut didakwa menyerang dua individu tanpa sebab. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bagaimana kes berkenaan diselesaikan.

BACA: Arab Saudi Umum Mula Puasa Khamis Ini

Sumber: New York Post

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.