Enjin Alami Masalah, Pesawat Penumpang Mendarat Cemas Di Kota Kinabalu
Sebuah kapal terbang Airbus A320 milik Cebu Pacific Air dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Sabah.
Memetik laporan The Strait Times, kejadian yang berlaku lewat malam tadi itu dipercayai berpunca daripada masalah enjin yang dialami pesawat berkenaan.
Ketika kejadian, kapal terbang terbabit membawa kira-kira 92 penumpang termasuk kru penerbangan. Pesawat berkenaan yang berlepas dari Cebu itu dilaporkan mula mengalami masalah enjin kirinya ketika berada di ruang udara Filipina pada 7.55 malam.
Ekoran itu, juruterbang kemudian memilih untuk melakukan pendaratan kecemasan di KKIA pada 10.22 malam.
Kapal terbang yang sepatutnya mendarat di Singapura, terpaksa mendarat awal di Kota Kinabalu, Sabah. Ia dijadualkan untuk mendarat di Singapura pada malam yang sama.
Berdasarkan data penerbangan, pesawat itu berada di ruang udara dalam masa kurang dari dua jam, kira-kira separuh daripada tempoh masa penerbangan dari Cebu ke Singapura.
Seorang penumpang Singapura yang berada dalam penerbangan tersebut berkongsi mengenai detik cemas tersebut.
Baginya, tempoh 30 minit yang diambil untuk melakukan pendaratan secara cemas merupakan saat yang paling mencemaskan dalam kehidupannya.
Katanya lagi, enjin kiri kapal terbang tersebut kelihatan seperti mengeluarkan percikan api dan pesawat itu mungkin bergantung pada satu enjin sahaja.
Bomba maklum insiden pesawat terpaksa mendarat cemas di Kota Kinabalu
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Sufyan Borhan berkata bahawa pihaknya telah dimaklumkan berkenaan insiden tersebut pada jam 9.49 malam.
Susulan itu, pihaknya telah menghantar satu pasukan penyelamat bagi membantu pasukan petugas darat di lapangan terbang berkenaan.
“Keadaan terkawal dan pesawat mendarat dengan selamat dan semua penumpang dan anak kapal selamat.
“Siap siaga di lapangan terbang ditamatkan pada jam 10.29 malam,” katanya.
Semua penumpang dan kru dilaporkan dalam keadaan selamat selepas kapal terbang melakukan pendaratan cemas tersebut.
Cebu Pacific Air difahamkan telah menyediakan tempat tinggal sementara waktu untuk semua penumpang di Kota Kinabalu.
Sumber: The Straits Times