Lain Daripada Yang Lain, Lelaki Jepun Daki Kinabalu Pakai Sut
Sebagai pendaki tegar, adalah menjadi impian untuk menawan gunung yang paling tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu, susulan mahu merasai persekitaran di kawasan tersebut.
Sebenarnya untuk mendaki gunung itu, ia memerlukan tenaga serta teknik yang betul supaya pendaki dapat sampai ke puncaknya dengan selamat.
Oleh itu, pelbagai persediaan perlu dilakukan dalam menjalani pendakian yang panjang dan perlu berlatih secara konsisten agar stamina menjadi lebih kuat.
Lelaki daki gunung pakai sut
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung seorang lelaki warga Jepun yang memakai sut semasa mendaki Gunung Kinabalu.
Lelaki yang dikenali Nobutaka Sada itu memuat naik satu hantaran beserta gambar miliknya, menyatakan dia telah menawan puncak tertinggi tersebut.
Menariknya, Sada hanya memakai pakaian formal yang hanya biasa dilihat ketika menghadiri mesyuarat di pejabat atau majlis-majlis rasmi.

Difahamkan, Sada yang juga merupakan wakil pengarah dan presiden jenama pakaian lelaki Jepun, dia melakukan pelbagai promosi yang agresif dalam memasarkan jenamanya.
Dalam satu hantaran di Facebook, Sada berkata dia dapat menikmati pemandangan indah semasa sampai di puncak itu.
“Mendaki Gunung Kinabalu, puncak tertinggi Malaysia di Borneo dengan sut pakaian Sada.
“Gunung lebih tinggi daripada Gunung Fuji mempunyai ketinggian mencecah 4,095 meter!
“Saya dapat berehat di pondok di tengah-tengah pancaran cahaya bintang, mendaki pendakian yang curam dan menikmati cahaya di puncak gunung,” katanya dalam hantaran itu.
Pemilihan pakaiannya membuatkan ramai tertanya-tanya sehingga ada seorang pelancong di Lapangan Terbang Kota Kinabalu bertanya mengenai perkara itu.
@rogonnabalu_25
Rata-rata mereka tidak dapat mempercayai apabila Sada memaklumkan dia mendaki Gunung Kinabalu dengan sut yang dipakainya.
Mereka turut mengambil video Sada semasa bertembung dengannya dan memuat naik di laman TikTok.
Dalam video tersebut, Sada sempat bergurau dengan menyatakan dia baru sahaja selepas bermesyuarat di puncak itu.
Dia kemudiannya meluru untuk turun ke bawah sehingga pelancong itu terkejut dengan tindakan yang ditunjukkan olehnya.
Kata warga maya
Menjengah di ruangan komen, rata-rata kagum dengan tindakan Sada dan mengucapkan tahniah kerana telah sampai ke puncak tertinggi itu.
Disebabkan itu, ramai juga yang bertanya mengenai pakaian sut yang dipakai olehnya dan boleh dikatakan strategi pemasaran Sada telah berjaya.

Ramai juga di antara mereka yang mahu mengikut jejak Sada untuk mendaki dengan sut kerana penampilan itu sememangnya lain daripada yang lain.
“Sangat mengagumkan Sada. Tahniah kerana sampai ke puncak Gunung Kinabalu dan bergaya,” puji Rachel di ruangan komentar.
“Anda mendaki Gunung Kinabalu dengan sut. Sangat hebat,” kata Mary Tan.
“Anda seorang lelaki sejati. Sut yang sangat hebat,” tambah Yohan.
https://www.facebook.com/sandarsn/posts/pfbid0asbMaf4zKRovrAJhJpv4N6fuEpFug2vZ8tqPiwYTopTyQ5mYLZRCLodAg4oePd2jl
Sumber: Nobutaka Sada/Facebook