YB Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan telah mengadakan lawatan rasmi ke Republik Turkiye dari 19 hingga 21 Mac 2023 buat kali pertama sejak beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan Malaysia pada Disember 2022.
Pada hari pertama lawatan rasmi, YB Menteri Pertahanan telah melawat Kementerian Pertahanan Nasional Republik Turkiye bagi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Tuan Yang Terutama (TYT) Hulusi Akar, Menteri Pertahanan Nasional Republik Turkiye di Kementerian Pertahanan Nasional. YB Menteri Pertahanan telah diberikan penghormatan menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormat sebelum pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut bermula.
Semasa pertemuan tersebut, YB Menteri Pertahanan telah merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga serta rakyat Republik Turkiye yang telah terjejas akibat bencana gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang telah melanda negara tersebut pada 6 Februari 2023. YB Menteri Pertahanan turut menzahirkan solidariti Malaysia bersama Republik Turkiye yang sedang menghadapi keadaan mencabar masa ini dan komitmen Malaysia bagi membantu negara berkenaan dan rakyatnya. YB Menteri Pertahanan turut memaklumkan rakan sejawat beliau bahawa Malaysia akan menyumbangkan sebahagian aset-aset Hospital Medan Malaysia (HMM) kepada Kerajaan Republik Turkiye bagi membantu pemulihan perkhidmatan kesihatan Republik Turkiye.
Kedua-dua Menteri juga telah menyatakan komtimen untuk terus meningkatkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Republik Turkiye khususnya dalam kerjasama ketenteraan serta bidang sains, teknologi dan industri pertahanan. Kedua- dua pihak turut membincangkan tentang perolehan yang sedia ada dan akan datang melalui mekanisme Kerajaan-kepada-Kerajaan (Government-to-Government, G2G).
YB Menteri Pertahanan turut memanjangkan jemputan kepada rakan sejawat beliau untuk menghadiri ke Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA 2023) yang akan diadakan pada bulan Mei 2023.
Pada hari kedua lawatan rasmi, YB Menteri Pertahanan telah melawat ke HMM yang terletak di Celikhan, Adiyaman di mana beliau telah diberi taklimat oleh Brigadier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah mengenai HMM sejak hospital berkenaan beroperasi pada 15 Februari 2023. HMM telah memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat dan kawasan berdekatan yang telah terjejas akibat bencana gempa yang berlaku baru-baru ini. YB Menteri Pertahanan turut mengambil kesempatan meluangkan masa untuk beramah mesra dan berinteraksi dengan petugas-petugas HMM semasa sesi makan tengah hari bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara.
YB Menteri Pertahanan turut bertemu Presiden Agensi Industri Pertahanan (SSB) dan telah diberi taklimat tentang bagaimana Republik Turkiye membangunkan industri pertahanan dengan jayanya seterusnya menjadi antara pemain industri utama di dunia. Kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa kerjasama industri pertahanan perlu dipertingkatkan melangkaui perolehan aset-aset ketenteraan dan komited untuk meneroka peluang kerjasama lain yang saling memanfaatkan kedua-dua negara.
Lawatan ke Republik Turkiye oleh YB Dato’ Seri Utama Mohamad merupakan satu aktiviti di bawah Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa, seperti yang digariskan oleh Kertas Putih Pertahanan (KPP) serta tanda solidariti kepada rakyat Republik Turkiye.