Siakap Keli
Arif Aiman & Endrick Digugurkan
Gambar: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Alami Kecederaan, Arif Aiman & Endrick Dos Santos Digugurkan Dari Kem Latihan

Alami Kecederaan, Arif Aiman & Endrick Dos Santos Digugurkan Dari Kem Latihan

KUALA LUMPUR —  Dua pemain negara, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos dilaporkan terpaksa digugurkan dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Dalam satu siaran media hari ini, Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon berkata nama kedua pemain itu terpaksa dilupakan. Ia berikutan hasil ujian yang dilaksanakan mendapati mereka mengalami kecederaan.

“Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.

“Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini.

“Dan tiada penambahan pemain baharu,” kata Pan Gon.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi.

“Pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya.

“FAM telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini. Ia supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” maklum FAM.

Harimau Malaya Berjaya Atasi Cabaran Turkmenistan

Terdahulu, skuad negara berjaya menewaskan Turkmenistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, lapor Bernama

BACA JUGA: Pan Gon Persoal Keupayaan Pemain Harimau Malaya Menang Tipis Dengan Turkmenistan

Tambahan lagi, Malaysia selaku tuan rumah berjaya memanfaatkan perlawanan di laman sendiri.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan kedua skuad kebangsaan ke atas Turkmenistan dalam tempoh sembilan bulan.

Sebelum ini, anak didik Pan Gon tewas di tangan “The Green” 3-1 dalam pertembungan sulung kedua-dua pasukan itu. Ia berlangsung dalam aksi Kumpulan E pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Jun tahun lalu.

Gol Akhyar Rashid Menjadi Pemisah

Dalam pertembungan 23 Mac lalu, pemain sayap lincah negara,  Muhammad Akhyar Abdul Rashid muncul wira apabila meledak gol kemenangan negara pada separuh masa pertama.

Perlawanan itu juga menyaksikan muka-muka baharu juga diturunkan di atas padang. Antaranya termasuklah Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin, Muhamad Feroz Baharudin dan Nooa Laine.

Selepas menentang Turkmenistan pada Khamis lalu, anak buah Kim Pan Gon dijadualkan menentang satu lagi negara pada Selasa ini iaitu Hong Kong. Pertembungan itu bakal berlangsung pada penghujung jendela perlawanan antarabangsa FIFA.

BACA JUGA: Malaysia Muncul Negara Kedua Paling Bahagia Di Asia Tenggara

Sumber: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.