Siakap Keli
ahmad fayhsal lawatan
Kredit: Awani

Kenapa Pejabat Perdana Menteri Adakan Lawatan Tergesa-gesa? – Wan Ahmad Fayhsal

Kenapa Pejabat Perdana Menteri Adakan Lawatan Tergesa-gesa? – Wan Ahmad Fayhsal

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal menggesa Perdana Menteri untuk menjawab persoalan berhubung lawatannya ke Arab Saudi ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) hari ini.

Memetik laporan Awani, Wan Ahmad Fayhsal mempertikaikan tindakan Pejabat Perdana Menteri kerana tergesa-gesa merancang lawatan rasmi tersebut. 

Wan Ahmad Fayhsal berkata lawatan rasmi tersebut disifatkan memalukan negara kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berjumpa dengan pemimpin Arab Saudi itu.

“Kenapa Pejabat Perdana Menteri boleh buat lawatan tergesa-gesa yang mengatakan seolah-olah memang ada jemputan rasmi tetapi sebenarnya tidak ada. 

“Kami menuntut penjelasan tuntas daripada Perdana Menteri dan juga Menteri Luar Negeri berhubung masalah ini. Jangan kita ulangi kesilapan-kesilapan diplomatik yang boleh merugikan negara,” katanya.

Tambahnya, beliau mengharapkan persoalan ini akan diangkat oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul ketika sesi PMQT.

BACA: Anwar Puas Hati Lawatan Sehari Ke Kemboja, Bincang Pelbagai Isu

“Kami harap soalan yang kami bawa untuk pembangkang diangkat oleh Speaker untuk dijawab oleh Perdana Menteri pada esok (hari ini) pagi. Kami akan ada, kami tidak lari.

“Ini satu kebimbangan yang jelas, nyata dan memalukan negara. Kami tidak mahu salahkan Wisma Putra atau mana-mana pihak malah kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, perkara ini perlu dijawab oleh Anwar kerana ia memberi kesan kepada rakyat dan juga negara.

“Ini satu perkara yang penting kerana ia memberi kesan kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Apakah benar Kerajaan Arab Saudi tidak mahu berjumpa dengan Perdana Menteri? Sebabnya kalau kita lihat laporan media agensi Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman semuanya berada di Jeddah ketika Perdana Menteri hadir di ketika itu (di sana).

“Mereka bukan di luar negara, mereka ada di sana. Dan ini menimbulkan apakah hubungan Malaysia dan Arab Saudi menjadi dingin?”  jelasnya.

Arab Saudi minta PM Anwar lanjut tempoh lawatan

Kredit: BERNAMA

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Arab Saudi telah meminta Anwar untuk melanjutkan tempoh lawatan rasmi ke negara itu baru-baru ini bagi menyusun pertemuan antara beliau dan pemimpin negara berkenaan.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi yang menjelaskan perkara itu berkata Anwar bagaimanapun terpaksa menolak permintaan berkenaan secara baik kerana beliau telah dijadualkan hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ahmad Farhan berkata lawatan berkenaan yang diisi dengan jadual padat dan tersusun, sangat berhasil.

Anwar juga menyaksikan beberapa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) penting melibatkan lapangan perniagaan dan industri.

“Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu untuk menghentikan polemik ini, dan bersama mendukung usaha serta upaya Kerajaan Perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara,” katanya.

Sumber: Awani

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.