Tiket Bas Balik Raya Laris, Ke Pantai Timur Dah “Sold Out”
IPOH — Bersempena musim perayaan Aidilfitri ini, jualan tiket bas ekspress bagi kebanyakan negeri di semenanjung dilaporkan laku keras dan hampir habis dijual di Terminal Meru Raya, lapor Sinar Harian.
Dalam tinjauan yang dilakukan oleh Sinar Harian semalam, jualan tiket bas menuju ke Pantai Timur habis terlebih dahulu “disapu” berbanding negeri-negeri lain.
Difahamkan, penjualan tiket itu dibuka sejak tiga minggu lalu.
Menurut Penyelia Operasi Terminal Meru Raya, Aziz Othman, kebanyakan penumpang membuat tempahan awal menerusi dalam talian. Ia khususnya bagi mereka yang merancang perjalanan pulang menaiki bas ke Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu.
Meskipun hampir 10 perjalanan (trip) bas disediakan pada tanggal 18, 19 dan 20 April ini. Namun, jumlah tersebut masih belum mencukupi untuk menampung kuota permintaan orang ramai.
“Untuk Pantai Timur, permintaan sangat tinggi, sampai sekarang orang ramai masih datang cuba mendapatkan tiket balik.
“Negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka dan Kedah juga mendapat permintaan dan setakat ini, hampir habis terjual,” ujarnya.
BACA JUGA: Tiket Bas Balik Raya Laris Bak Pisang Goreng Panas
Sementara itu, Shahzira Sulaiman, 30 yang merupakan seorang kerani berkata, dia bersyukur kerana sempat membeli tiket itu lebih awal ke Kelantan.
Tambah Shazira, kebimbangan tiket yang habis dijual, membuatnya mengambil keputusan untuk membeli sebelum kedatangan bulan Ramadan.
“Selalunya musim perayaan ini, tiket akan cepat habis. Jadi sebagai langkah keselamatan eloklah saya beli awal,” katanya.
Muhammad Asyraf Mohd Amdan, berusia 26 tahun pula berkata pengangkutan awam menjadi pilihan utamanya untuk pulang ke kampung menjelang musim perayaan. Hal ini kerana ia dapat berjimat-cermat.
Asyraf yang juga pekerja di sebuah syarikat swasta di Ipoh sejak tiga tahun lalu memberitahu sistem yang disediakan itu tidak terlalu melelahkan. Lebih-lebih lagi bagi menempuh jarak perjalanan yang jauh dan laluan yang sesak.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, rasa tak sanggup nak tempuh kesesakan. Eloklah naik bas sahaja, tak penat dan boleh tidur sepanjang jalan,” jelasnya yang bakal pulang ke Selatan (Johor).
Sumber: Sinar Harian