Naz Rahman Dedah Punca Berat Badan Menyusut, 10 Kali Dibedah Gara-Gara Tumor Dalam Perut
Pelakon dan pengacara, Naz Rahman mendedahkan bahawa dirinya kini telah kehilangan berat lebih 14 kilogram selepas menjalani rawatan pembedahan buang tumor yang yang berada di dalam perutnya dikenali sebagai gastrointestinal stromal tumor (GIST).
Menurutnya, pembedahan yang dilakukan sejak lebih empat tahun lalu itu telah menyebabkan saiz perutnya berkurangan sebanyak 15 peratus. Pengurangan itu juga membuatkan berat badannya susut terutama ketika di bulan Ramadan.
“Saya pernah ada tumor di dalam perut, dah lebih empat tahun keadaan begitu juga. Ramai yang tanya kenapa saya kurus, ‘kau ni hisap dadah ker?’. Tapi dari dulu sampai sekarang sebab perut saya dah kurang 15 peratus.
“Apabila bulan puasa berat badan saya akan menjadi semakin susut sampaikan produksi pun banyak tanya adakah saya sakit? Ya memang betul saya sakit, tapi insya-Allah masih boleh bekerja.
“Alhamdulillah, tumor itu dah berjaya dikeluarkan dan saya perlu menjalani check up setiap tahun. Setiap tahun apabila doktor dimaklumkan keadaan saya bebas dari tumor, saya bersyukur dapat kembali bekerja,” katanya kepada Gempak.
Baju lama 15 tahun lalu boleh dipakai namun semakin longgar
Penurunan berat badan yang banyak itu telah menyaksikan bahawa Naz, 44, dapat menyarung baju yang sama beliau pakai pada majlis akad nikahnya 15 tahun lalu.
“Jujur saya katakan saya hilang 14 kilogram. ini pakaian yang dipakai waktu berkahwin, cukup fit badan. Tapi sekarang bahu dah jatuh. Semua dah susut dan saya tidak boleh tambah berat badan.
“Jadi saya nak ambil kesempatan ini bagi peminat yang bertanya kenapa kurus. Maaf saya tidak suka uar-uarkan penyakit ini akan berpanjangan dan saya akan macam ini sampai bila-bila tetapi tetap ceria.
“Saya boleh makan macam biasa. Bila buka makan sikit sahaja,” tambahnya.
BACA: Ada 800 Kedai Pakaian, Ni Tempat Terbaik Korang Beli Baju Raya, Senang ‘Match’ Satu Keluarga
Menurut Naz, dia harus kuat dan ceria seperti sedia kala untuk isteri Sheahnee Iman Lee dan tiga cahaya matanya, Zara Aaliyah, Zakry Aiman dan Zayd Aakil.
“Ini merupakan pembedahan saya yang kesepuluh. Macam-macam dugaan dalam hidup ini, apa yang jadi ujian dari Allah, tetapi macam mana reaksi kita kepada ujian itu yang penting. Saya ada pilihan nak sedih, down, depress…, memang patut tetapi demi isteri dan anak-anak saya tak mahu.
“Saya masih boleh bekerja, saya masih ada nyawa, boleh merasa nikmat kehidupan dan saya masih hendak melihat anak-anak membesar. Jadi saya ambil keputusan untuk positif!” kata Naz menutup bicara.
Sumber: Astro Awani