Tak Nak Kalah Gaduh Dengan Adik Beradik, Gadis Nekad Telan Telefon Bimbit
Seorang gadis berusia 18 tahun di India terpaksa dibedah selepas nekad menelan telefon bimbitnya ketika bertengkar bersama saudara lelakinya.
“Pertelingkahan antara adik-beradik akhirnya membawa kepada musibah,” kata doktor yang terlibat dalam pembedahan tersebut.
Memetik New York Post, pertelingkahan antara dua beradik itu dilaporkan berlaku pada Jumaat lalu di daerah Bhind, Madhya Pradesh.
Pertengkaran dua beradik itu dipercayai berlaku gara-gara sebuah telefon bimbit buatan China. Remaja perempuan tersebut akhirnya memutuskan untuk menelan telefon bimbit berkenaan bagi menghentikan pertengkaran yang tercetus.
“Ketika perasaan marah memuncak sewaktu pertengkaran itu, dia mengambil langkah impulsif dengan menelan telefon bimbit tersebut,” kata doktor.
Tidak lama kemudian, gadis itu mula mengalami sakit-sakit yang teruk.
Doktor memberitahu bahawa remaja itu mula mengalami sakit perut yang teruk dan muntah secara berterusan selepas kejadian tersebut.
Ahli keluarga yang bimbang kemudiannya telah bertindak membawa remaja berkenaan ke Hospital Jaya Arogya di bandar Gwalior.
Sejurus tiba di hospital, pakar bedah menjalankan beberapa ujian ke atas remaja itu, termasuk imbasan CT, X-ray dan ultrasound.
Pakar terpaksa melakukan pembedahan
Pakar memutuskan bahawa mereka tidak dapat mengeluarkan telefon tersebut melalui kaedah yang kurang invasif seperti endoskopi.
Mereka akhirnya memutuskan untuk melakukan pembedahan ke atas remaja berkenaan bagi mengeluarkan telefon bimbit tersebut.
Menurut ketua pakar bedah Dr Naveen Kushwah, pembedahan selama dua jam yang melelahkan itu akhirnya berjaya mengeluarkan telefon bimbit tersebut.

Remaja itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan yang memerlukan 10 jahitan. Remaja terbabit dijangka keluar dari hospital tidak lama lagi.
Tambah Dr Kushwah lagi, ini adalah kali pertama dia menghadapi kes seperti ini sepanjang 20 tahun kerjayanya sebagai doktor.
Ekoran daripada kejadian itu, pakar bedah tersebut menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati sebelum memberikan peranti mudah alih kepada anak-anak mereka.
BACA: Ada 800 Kedai Pakaian, Ni Tempat Terbaik Korang Beli Baju Raya, Senang ‘Match’ Satu Keluarga
Ini bukan kejadian kali pertama melibatkan individu menelan objek yang tidak boleh dimakan.
Pada Januari lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun terpaksa dimasukkan ke hospital selepas makan buah pisang yang dibalut dengan kondom. Disebabkan kejadian itu, lelaki berkenaan mengalami usus tersumbat yang serius.
Sumber: New York Post