Mayat Lelaki Ditemui Dalam Keadaan Mengerikan, Dipercayai Dirobek Oleh Beruang
Mayat seorang lelaki yang dipercayai diserang dan dibunuh dengan kejam oleh seekor beruang ditemui dalam keadaan mengerikan di dalam hutan.
Memetik Daily Star, lelaki bernama, Andrea Papi, 26, kali terakhir dilihat ketika masih hidup pada pagi 5 April lalu sebelum dia keluar untuk berlari di Val di Sole, Trentino, Itali.
Mayatnya telah ditemui dalam keadaan menyeramkan di kawasan hutan beberapa jam kemudian.
Penemuan itu dibuat selepas teman wanitanya bertindak menghubungi polis tempatan dan membuat aduan berkenaan kehilangan teman lelakinya.
Penyiasat menemuinya dengan kesan luka parah yang kelihatan seperti serangan haiwan liar, lapor media tempatan.
Pelajar jurulatih fizikal muda itu dipercayai telah diserang oleh seekor atau beberapa ekor beruang di jalan hutan yang menghala ke kampung halamannya.
Penyelidik mengesyaki bahawa Andrea mungkin telah diserang sewaktu melalui jalan tersebut sebelum diseret ke dalam hutan di mana dia dirobek.
Bedah siasat sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada Andrea sudah mati sebelum diserang haiwan itu atau terkorban selepas diserang beruang ganas tersebut.
Penyerangnya berkemungkinan datang daripada beruang coklat yang tinggal di hutan di wilayah utara Itali tersebut.
Penampakan beruang semakin kerap kebelakangan ini di hutan berkenaan
Kejadian itu telah menggemparkan seluruh penduduk tempatan, dengan ramai yang mendakwa bahawa penampakan beruang semakin kerap sejak kebelakangan ini.
Bulan lepas, penduduk tempatan mendakwa beberapa ladang telah diserang dengan seekor kambing biri-biri ditemui telah mati.
Ahli Parlimen tempatan Maurizio Fugatti berkata dalam satu kenyataan: “Ini adalah sangat menyakitkan.
“Jadi saya percaya bahawa perkara yang benar mesti dilakukan untuk menghormati mangsa buat masa ini.
“Saya berada di lokasi kejadian pada pagi ini (6 April) dan saya bersama-sama pihak berkuasa tempatan melihat apa yang berlaku sebenarnya secara peribadi.
“Pengawal telah dimaklumkan dan bersama-sama ia diputuskan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi ketenteraman dan keselamatan awam,” tambah Maurizio lagi.
Sejurus melawat lokasi kejadian, Maurizio kemudiannya bertemu dengan pentadbir majlis perbandaran berkenaan dan seluruh lembah.
Sumber: Daily Star