Cecah -3 Celcius, Gunung Kinabalu Catat Suhu Bawah Paras Beku
Kepingan dan hablur ais dikesan di sekitar kawasan Gunung Kinabalu selepas suhu direkodkan mencecah -3 hingga -5 Celcius baru-baru ini.
Menerusi perkongsian Sabah Parks di Facebook, pembekuan tersebut berlaku bermula dari kawasan kompleks Sub Stesen Panalaban, Taman Kinabalu sehingga ke Puncak Kinabalu.
Keadaan itu juga menyaksikan permukaan batuan Granit menjadi licin disebabkan pembekuan ais.
“Semoga para pendaki sentiasa berhati-hati sepanjang melakukan aktiviti pendakian dan turun. Setakat ini aktiviti pendakian adalah lancar dan terkawal,” kata Sabah Parks pada 7 April lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang kes kecemasan atau kemalangan yang dilaporkan berlaku akibat kejadian itu.
“Kes AMS juga mudah berlaku dalam keadaan cuaca yang agak sejuk,” katanya lagi.
Sementara itu, gambar-gambar yang dimuat naik juga menyaksikan keadaan di sekitar kawasan gunung itu yang mengalami pembekuan.
https://www.facebook.com/SbhParks/posts/602118871941419
Salji di Gunung Kinabalu sebelum ini
Terdahulu, dilaporkan salji pernah turun di Gunung Kinabalu pada Februari 2022.
Difahamkan, pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin sempat merakam suasana ketika salji turun ketika sedang menunggu pendaki di Sayat-Sayat pada jam 7.18 pagi.
Difahamkan salji tersebut turun kira-kira pada jam 7 pagi.
Dalam video yang berdurasi 3 minit tersebut jelas memperlihatkan salji turun di gunung itu.
Menurut Hajiri, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.
“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.
“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak.
Tambahnya, bentuknya memang salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa dilihat ketika di puncak Gunung Kinabalu.
“Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat.
“Ada ramai pendaki ketika itu, dan saya terpaksa menunggu mereka lebih lama sedikit kerana pendaki yang lain sedang menyaksikan kehadiran ‘salji’ di atas puncak.
Menurutnya lagi, kejadian itu bukan kali pertama berlaku kerana dia pernah menyaksikan fenomena sama pada 2018.
Sumber: Facebook Sabah Parks, Sinar harian