Penerbit anime terkenal KADOKAWA Group membuka penyertaan dari seluruh dunia untuk memenangi hadiah US$15,000 bagi setiap kategori bahasa
KUALA LUMPUR, 10 April 2023 – Setelah menganjurkan dua pertandingan TATESC (berasal daripada perkataan Jepun ‘Tate’ yang bermakna ‘berdiri’ dan suku kata pertama ‘scroll’), syarikat penerbitan anime KADOKAWA Group menjadikan pertandingan ketiganya kali ini sebagai Anugerah Global TATESC COMICS yang julung kali diadakan.
Acara ini membolehkan penyertaan dari seluruh dunia dan dalam enam bahasa berbeza termasuklah bahasa Inggeris, Melayu, Cina Tradisional, Cina Dipermudah, Thai dan Jepun.
TATESC, yang digambarkan sebagai label komik tatal menegak dari KADOKAWA Group yang boleh dibaca pada peranti mudah alih, tablet atau komputer peribadi, telah dilancarkan di Jepun pada tahun 2021.
Anak syarikatnya di Malaysia – Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd (KGS) – bertanggungjawab ke atas penyertaan pertandingan versi bahasa Melayu dan bahasa Cina Dipermudah.
“Ini adalah pencapaian global yang dijayakan dengan kerjasama semua anak syarikat KADOKAWA Group di luar negara. Pembukaan sempadan ini akan membolehkan artis komik untuk menyerlahkan bakat mereka dan bersinar dalam dunia komik TATESC,” kata Chris Yew, Ketua Pegawai Eksekutif KGS.
Pemenang hadiah pertama setiap kumpulan bahasa akan mendapat ganjaran USD 15,000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang USD 2,500 dan USD 1,000. Selain itu, pemenang anugerah akan diberi jaminan yang karya mereka akan dijadikan siri digital dan seorang editor akan ditugaskan untuk membantu penulis komik menerbitkan hasil kreatif masing-masing.
“Tiada had pengalaman atau umur untuk masuk dan penyertaan sama ada secara usaha sendirian (solo) atau berkumpulan/syarikat,” katanya, sambil menambah bahawa hasil kerja pemenang Anugerah Terjemahan dan Penerbitan di Jepun akan diterjemah ke dalam bahasa Jepun serta dijamin diberikan slot siri elektronik.
KADOKAWA meyakinkan bahawa terdapat lebih banyak peluang untuk pemenang yang akan didedahkan sepanjang tempoh pertandingan ini; di mana ia telah dibuka pada 9 Mac lalu dan berakhir pada jam 11.59 malam, 31 Ogos 2023.
Semua penyertaan akan dinilai oleh Juri Anugerah Global TATESC COMICS yang terdiri daripada para editor dari penerbit KADOKAWA Group dalam setiap bahasa.
Nama finalis akan diumumkan di laman web khas pada Oktober akan datang dan pemilihan akhir pula akan diberitahu pada November 2023. Pada masa sama, karya yang memenangi anugerah dalam setiap bahasa dan Anugerah Terjemahan dan Penerbitan di Jepun juga bakal diumumkan.
Setiap pemenang hadiah pertama, daripada setiap kategori bahasa, akan dijemput untuk menyertai majlis penyampaian anugerah yang dijadualkan pada bulan Disember 2023, di Jepun. Butiran lanjut boleh didapati di https://promo.kadokawa.co.jp/tatesc/ms/ dan ikuti kami di https://www.facebook.com/gempakstarzpage