Pengguna Nyaris Kena “Hook”, Temui Mata Kail Dalam Tin Sardin
Seorang pengguna di Bangkok, Thailand nyaris mengunyah mata kail yang ditemui dalam ikan sardin tin keluaran jenama terkenal di Thailand, lapor The Thaiger.
Kejadian itu telah dikongsikan oleh seorang pengguna di Facebook yang kemudiannya memuat naik gambar penemuan berkenaan sebagai bukti.
“Seorang pengguna yang makan ikan dalam tin telah menemui objek asing di dalamnya. Saya tidak akan maafkan QC tentang apa yang terjadi,” tulis luahan itu.
Selain itu, pengguna tersebut dipercayai telah membuat aduan ke jabatan jualan produk berkenaan. Syarikat itu kemudiannya telah menawarkan untuk memberinya dua peti ikan dalam tin sebagai pampasan atau wang tunai 1500 baht (RM193).
Pendedahan itu telah memberikan tanda tanya kepada netizen tentang bagaimana kaedah syarikat itu menangkap ikan berkenaan untuk dijadikan makanan tersebut.
Kaki tikus dalam pes cili ikan jeruk
Minggu lalu, seorang wanita di Thailand menemui kaki tikus di dalam pes cili ikan jeruk yang dibelinya dari pasar di wilayah Prachin Buri, tengah Thailand.
Wanita itu tidak tahu apa ‘objek misteri’ tersebut sehinggalah netizen memberitahunya bahawa ia kelihatan seperti kaki tikus.
Pada Mac tahun lalu, sebuah keluarga dari Prachin Buri menemui lipan berbisa di dalam sebuah tin berisi ikan. Tidak diketahui sama ada ia daripada syarikat “jenama terkenal” yang sama dengan syarikat yang menjual ikan sardin yang mengandungi mata kail itu.
Terdahulu, seorang pramugara gempar apabila menemui kepala ular dalam hidangan yang tersedia dalam sebuah penerbangan tambang murah, lapor The Sun.
Pramugara itu dilaporkan bertugas untuk sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang dalam perjalanan menuju Dusseldorf dari Ankara.
Pramugara tersebut sempat merakam penemuan seram itu dan berkongsi secara dalam talian untuk mendapatkan respon segera daripada syarikat penerbangan yang bertanggungjawab.
Difahamkan, sejurus menerima hidangan makanan tengah hari, dia terus membukanya dan terkejut apabila terlihat kepala ular yang merenung tepat ke arahnya.
Kes yang seakan-akan sama seperti yang dilalui oleh pramugara ini turut pernah terjadi kepada kakitangan sebelumnya.
Menurut akhbar tempatan, kakitangan sebelum ini pernah mengadu tentang menerima kumbang dan siput dalam hidangan makanan ketika bertugas dalam syarikat penerbangan tersebut.
Sumber: The Thaiger