Siakap Keli
taliban pakaian sekolah
Kredit: AFP

Taliban Tetapkan Pakaian Sekolah Patuh Syariah Untuk Pelajar

Taliban Tetapkan Pakaian Sekolah Patuh Syariah Untuk Pelajar Perempuan

Kerajaan Taliban di Afghanistan telah merangka rang undang-undang yang mencadangkan kod pakaian patuh syariah untuk pelajar sekolah, lapor The Independent.

Difahamkan, Kementerian Pendidikan telah menetapkan pemakaian tudung, jubah, tunik panjang dan seluar longgar dalam warna yang berlainan bagi setiap jantina untuk pelajar tersebut.

Kesemua pelajar lelaki dan perempuan akan diminta untuk memakai pakaian tradisional yang menutupi anggota badan, berserta lencana yang memaparkan bendera Taliban.

Menerusi kenyataan yang mengandungi lima bab dan 13 artikel, kanak-kanak lelaki yang bersekolah rendah perlu memakai pakaian tradisional yang dipanggil perahan tunban berwarna biru muda.

Manakala, mereka yang bersekolah menengah pula perlu memakai pakaian tradisional yang sama tetapi berwarna hijau muda.

Pelajar perempuan tidak akan dibenarkan untuk memakai pakaian yang pendek, jarang, nipis dan ketat.

Selain itu, tudung patuh syariah akan disertakan dalam pakaian seragam untuk perempuan, selain jubah yang perlu dipakai oleh pelajar semasa sesi persekolahan.

Pelajar perempuan di bawah gred enam perlu memakai pakaian seragam warna gading gelap (dark ivory) dengan tudung putih.

Sementara itu, kanak-kanak perempuan melebihi gred enam dikehendaki memakai pakaian warna hijau zaitun dengan tudung hitam.

Sebelum ini, Taliban telah melakukan larangan kepada pelajar perempuan di atas gred enam untuk menghadiri sekolah pada Mac 2022.

Pada ketika itu, Taliban masih berunding mengenai pemakaian patuh syariah kepada pelajar dan ia merupakan dokumen sulit yang tidak boleh disebarkan di media sosial.

Hal ini kerana, Taliban masih menyusun perancangan dan keputusan muktamad masih belum diputuskan.

Dalam masa yang sama, draf itu turut menyebut bahawa guru-guru di sekolah juga perlu mengenakan pakaian yang sama dengan para pelajar.

Guru lelaki perlu memakai perahan tunban dan guru wanita pula dikehendaki memakai pakaian jubah panjang.

Aktivis tentang pakaian seragam baharu

Bagaimanapun, draf tersebut telah mendapat maklum balas daripada aktivis yang mengatakan bahawa ada pelajar memprotes peraturan pakaian seragam baharu itu.

Satu gerakan rakyat yang dipanggil Purple Saturdays berkata anggotanya memprotes  ketetapan Taliban yang memerlukan kanak-kanak perempuan di bawah gred enam memakai pakaian seragam.

Difahamkan, Taliban didakwa turut menghalang wanita (keluar) ke ruang awam, termasuk taman dan pekerjaan namun perkara itu tidak disebut dalam dokumen tersebut.

Sumber: The Independent

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana