Siakap Keli
gunung berapi rusia
Gambar: Bloomberg

Gunung Berapi Meletus, Perkampungan Di Rusia Diselimuti Debu Tebal 

Gunung Berapi Meletus, Perkampungan Di Rusia Diselimuti Debu Tebal 

MOSCOW — Susulan letusan gunung berapi Shiveluch hari ini, sebahagian kawasan di sekitar gunung berkenaan dilaporkan dilitupi debu tebal di Semenanjung Kamchatka, Rusia, lapor AFP.

Dalam beberapa rakaman yang dimuat naik di Twitter mendedahkan sebahagian kawasan kediaman berhampiran gunung tersebut dipenuhi debu setebal 8.5 cm.

 

Tiga Kampung Terjejas Teruk

Difahamkan, asap yang dikeluarkan dari gunung berapi berkenaan telah menyebabkan beberapa perkampungan lumpuh. Selain itu, beberapa penerbangan turut dilaporkan berisiko.

Sementara itu, gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov, berkata tiga perkampungan, Kliuchy, Kozyrevsk dan Mayskoye dilaporkan terjejas teruk akibat letusan gunung itu.

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah. Manakala aktiviti persekolahan juga telah dihadkan khususnya di kawasan luar bandar di sungai Kamchatka (sebelah timur semenanjung).

“Seboleh-bolehnya, orang ramai hanya duduk di rumah. Kami sedang menunggu pihak berkuasa gunung berapi memantau letusan itu dan menilai tempoh abu itu aktif.

“Aktiviti persekolahan turut dihadkan sepanjang tempoh bencana ini,” katanya di Telegram.

BACA JUGA: Gunung Berapi Anak Krakatau Dilapor Kembali Meletus

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan turut menghantar air botol ke beberapa kediaman yang terjejas dengan bekalan air. Pemeriksaan kesihatan penduduk juga dipantau oleh pegawai kesihatan dari rumah ke rumah.

Amaran Tahap Merah Dikeluarkan Gunung Berapi Shiveluch 

Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka (KVERT), berkata awan abu gunung berkenaan tersebar sejauh ratusan kilometer ke utara dan barat daya Shiveluch.

Berikutan itu pakar telah mengeluarkan amaran tahap merah bagi aktiviti penerbangan di kawasan berkenaan.

“Letusan gunung berapi itu dilapor secara berterusan. Awan abu tersebar sehingga 15 kilometer (49,200 kaki) tinggi ke udara. Bencana berterusan ini boleh menjejaskan penerbangan antarabangsa dan penerbangan domestik,” maklum KVERT dalam satu notis amaran.

Sementara itu, pihak berkuasa penerbangan Rusia, Rosaviatsiya turut menggesa krunya untuk sentiasa memantau perubahan maklumat meteorologi.

Tambah agensi penerbangan Rusia itu, ia bagi memastikan sistem penerbangan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Pihak pengurusan trafik udara serantau juga bersedia untuk membantu kakitangan negara dan syarikat penerbangan asing dalam memilih laluan alternatif yang selamat,” katanya.

Gunung Berapi Shiveluch merupakan salah satu gunung berapi terbesar di Kamchatka. Usianya dianggarkan antara 60,000 hingga 70,000 tahun.

Sumber: AFP

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.