Siakap Keli
buruh hina agong
Kredit: BERNAMA

Buruh Hina Agong, Timbul Isu Perkauman Di Facebook Dipenjara Enam Bulan

Buruh Hina Agong, Timbul Isu Perkauman Di Facebook Dipenjara Enam Bulan

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) — Seorang buruh dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik dengan menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) serta menimbulkan isu perkauman di laman Facebook miliknya.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara empat bulan bagi tiga lagi pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik berhubung isu perkauman dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebooknya dengan menggunakan laman profil “Tuk Chik” pada 3.34 petang, 25 Jan lepas dan pautan itu kemudian dibaca di sebuah restoran di sini pada 5 petang, 8 April lepas.

Dia didakwa atas tiga lagi pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik terhadap YDPA dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di akaun Facebook sama, antara 10.52 pagi dan 11.26 pagi, pada 2 dan 3 April lepas dan pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Wangsa Maju di sini, pada 10.45 pagi, 5 April lepas.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

BACA: Pekerja Ladang Didenda RM6,500 Kerana Hina Agong Di Facebook

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia telah menyesal serta tidak berniat untuk memprovokasi mana-mana pihak, selain turut memohon maaf kepada institusi diraja atas kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nur Azmal memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar, agar tidak melakukan kesalahan sama.

“Dalam kes ini secara terang OKS telah melanggar hak kebebasan bersuara serta tidak menghayati rukun negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, manakala bagi hantaran isu perkauman, OKS gagal mencerminkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

noktah