Tak Puas Hati “Speaker” Surau Kuat, Lelaki Tular Tendang Pintu Surau Hingga Rosak Ditahan Polis
Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian khianat harta benda di sebuah surau bawah flat Sg Chua, Kajang pada Isnin lepas berjaya ditahan polis, lapor Astro Awani.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, laporan daripada orang awam mengenai kejadian telah diterima pada 10.49 malam, hari sebelumnya.
Laporan awal mendapati, pintu sebuah surau telah ditendang oleh suspek sehingga menyebabkan kerosakan.
“Hasil siasatan pihak polis, suspek yang tinggal tidak jauh dari surau berkenaan menyatakan tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara surau yang kuat hingga mengganggu dia sekeluarga termasuk jiran-jiran yang tinggal kawasan berhampiran.
“Bertindak atas maklumat, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 46 tahun bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kedua-dua pihak telah memberikan kerjasama kepada pihak polis berkaitan isu selisih faham tersebut di mana saksi-saksi lain yang terlibat turut dipanggil memberikan keterangan, termasuk isu menyebarkan video yang tular di media sosial berkaitan dengan kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Tambah Mohd Zaid, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana merosakkan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama.
Selain itu, siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Ia berkaitan dengan penyalahgunaan rangkaian dengan penyebaran video tersebut dengan niat yang tidak baik.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung dengan kejadian ini diharap dapat tampil membantu pihak polis. Anda boleh menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat. Atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp Mu’az Bin Mazlan di talian 017-9788804.
“Pihak polis juga menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini. Yang mungkin boleh menggugat keharmonian dan keselamatan di mana kes ini telah diambil tindakan oleh pihak polis. Dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat serta penduduk setempat,” ujarnya.
Sumber: Astro Awani