Siakap Keli
lelaki tumbuk pemandu
Gambar: Bernama

Polis Tahan Lelaki Tumbuk Pemandu Di Jalan Raya

Polis Tahan Lelaki Tumbuk Pemandu Di Jalan Raya

LABUAN– Seorang lelaki telah ditahan kerana dipercayai menumbuk seorang pemandu dalam kejadian di Jalan Patau-Patau, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu  pada 12 April 2023.

Suspek telah ditahan semalam (16 April) pada jam 3.45 petang.

Semasa kejadian suspek yang berusia 22 tahun itu keluar dari kenderaannya dan bertindak menumbuk muka mangsa beberapa kali.

Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana marah mengenai penggunaan isyarat lampu kenderaan sebelum masuk ke jalan sebelah kanan.

“Isteri mangsa turut ada bersama pada masa kejadian menyebabkan mangsa ketakutan.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian dahi, pendarahan pada bahagian hidung dan juga sakit pada bahagian mata,” katanya.

Tambahnya lagi, kenderaan mangsa juga mengalami kerosakan.

Sementara itu, mangsa telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah seksyen 506 kanun keseksaan/seksyen 427 kanun keseksaan dan 323 kanun keseksaan,” katanya.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai gambar atau video yang tular tersebut. Ia bagi memastikan siasatan pihak polis tidak terjejas dan tidak mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Video yang memaparkan kejadian itu telah tular semalam dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen.

BACA: Tak Puas Hati “Speaker” Surau Kuat, Lelaki Tular Tendang Pintu Surau Hingga Rosak Ditahan Polis

Terdahulu, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian khianat harta benda di sebuah surau bawah flat Sg Chua, Kajang pada Isnin lalu berjaya ditahan polis

Memetik laporan Astro Awani, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek yang berusia 46 tahun bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana merosakkan rumah ibadat dengan niat mengaibkan mana-mana agama.

“Kedua-dua pihak telah memberikan kerjasama kepada pihak polis berkaitan isu selisih faham tersebut di mana saksi-saksi lain yang terlibat turut dipanggil memberikan keterangan, termasuk isu menyebarkan video yang tular di media sosial berkaitan dengan kejadian ini,” katanya.

Sumber: Facebook Polis Daerah Labuan 

Ezzatul Syafiqah