‘Kalau Qadha’ Solat Pada Malam Lailatulqadar, Adakah Dikira Qhada’ Solat 83 Tahun’?
Lailatulqadar merupakan malam yang sering dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana ia adalah ‘kemuncak’ utama dalam bulan Ramadan, di mana Allah turut menjelaskan bahawa sesiapa yang mengejar malam tersebut maka pahala mereka akan digandakan.
Difahamkan, barang siapa yang beribadah pada malam Lailatulqadar, mereka diibaratkan seperti beribadah selama 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun.
Oleh hal yang demikian, ramai yang mengambil peluang merebut untuk melakukan ibadah di tengah malam (qiamullail) untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.
Namun, bagaimana pula buat mereka yang bangun malam beribadah untuk melakukan solat qadha (ganti), dan secara kebetulan dengan kuasa Allah, malam tersebut merupakan malam Lailatulqadar?
Adakah solat gantinya turut ‘digandakan’ bagi tempoh 83 tahun? Bagi mengetahui jawapan kepada persoalan itu, ikuti perkongsian oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bawah ini.
#1348: Qadha’ Solat Pada Malam Lailatulqadar

Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, semoga sentiasa berada dalam rahmat Allah. Saya ingin bertanya, berkenaan Lailatulqadar yang sepertimana kita ketahui beribadat pada malam itu melebihi ibadat selama 83 tahun, soalan saya, adakah jika kita qadha solat (yang pernah kita tinggalkan lalu) pada malam itu dikira seolah kita telah melakukan qadha solat selama 83 tahun? Jazakallahukhair.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Suka saya nyatakan qadha solat sewajarnya disegerakan, ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
مَنْ نَامَ عَنْ صَلاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَلْيُصَلِّهَا إذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang tertidur dari (melakukan) solat atau terlupa, maka hendaklah dia solat setelah mengingatinya.”
Riwayat Muslim (680), Abu Daud (441), al-Tirmizi (615), Ibn Majah (698)
Menjawab persoalan saudara, suka saya nyatakan kelebihan Lailatul Qadar menyamai 1000 bulan. Firman Allah SWT:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”
Surah al-Qadr (3)
Para ulama berpendapat sebarang amalan yang baik pada malam tersebut seperti solat, zikir, selawat, istighfar, bacaan al-Quran, sedekah, pergi ke masjid, iktikaf dan lain-lain akan digandakan pahalanya dengan lebih baik dari seribu bulan. Justeru, saya mengharapkan solat qadha’ anda juga termasuk dalam umum nas Ilahi di atas iaitu lebih baik dari seribu bulan kerana ia juga merupakan ibadat.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita diampunkan Allah SWT dosa-dosa kita berdasarkan hadith yang diajar kepada kita oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah R.Anha:
اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”
[Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih. Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menghukum sanad hadith ini sebagai sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah]
Sumber: Maktabah al-Bakri