Siakap Keli
Konflik sudan
Kredit: Kedutaan Sudan di Malaysia via Bernama

Konflik Sudan: Ragut Lebih 400 Nyawa, Apa Yang Berlaku Sebenarnya?

Konflik Sudan: Apa Yang Berlaku Sebenarnya?

Sudan ketika ini berdepan dengan konflik bersenjata sejak beberapa minggu yang lalu. Setakat ini, dilaporkan angka korban melibatkan orang awam sudah pun mencecah angka ratusan orang.

Pertempuran yang tercetus di ibu negara, Khartoum dan beberapa kawasan lain berpunca dari perebutan kuasa yang berlaku dalam kepimpinan tentera negara.

Pertembungan ini melibatkan dua pihak, iaitu pasukan tentera utama Sudan dan pasukan separa tentera yang digelar sebagai Rapid Support Forces (RSF).

Di manakah Sudan?

Sudan adalah sebuah negara yang terletak di timur laut Afrika dan merupakan salah sebuah negara terbesar di benua tersebut. Negara ini memiliki keluasan wilayah seluas 1.9 juta kilometer persegi.

Sungguhpun begitu, Sudan juga merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia. Pendapatan purata tahunan kira-kira 46 juta penduduknya hanya sebanyak $750 (RM3342.75).

Majoriti penduduk Sudan merupakan penganut agama Islam dan bahasa rasmi bagi negara tersebut adalah bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

konflik sudan
Kredit: BBC

Siapa yang terlibat dalam konflik ini?

Sejak rampasan kuasa yang berlaku pada 2021, Sudan telah ditadbir oleh majlis Jeneral yang diketuai oleh dua orang penting dalam konflik ini.

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, merupakan Ketua Angkatan Tentera dan bertindak sebagai pemimpin di negara tersebut. Manakala, jawatan timbalan pula disandang oleh pemimpin utama RSF, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo yang turut dikenali sebagai Hemedti.

Kedua-duanya tidak bersetuju berkenaan hala tuju negara tersebut dan dalam proses mencadangkan langkah untuk berpindah kepada pentadbiran awam.

Bagaimanapun, isu pokok yang menjadi perbalahan adalah langkah untuk menyerap masuk 100,000 anggota RSF ke dalam pasukan tentera, dan siapa yang kemudiannya akan mengetuai pasukan baharu itu.

Bagaimana konflik mulai berlaku di Sudan?

Pertempuran dipercayai meletus bermula pada 15 April, beberapa hari selepas ketegangan memuncak ekoran tindakan RSF menggerakan anggotanya ke beberapa kawasan. Angkatan Tentera Sudan melihat langkah itu sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara.

Sebelum situasi menjadi parah, pemerhati melihat beberapa siri rundingan mungkin memberikan solusi yang lebih aman, namun perkara tersebut terbukti tidak berlaku.

Setakat ini, tiada maklumat pihak manakah yang melepaskan tembakan pertama sehingga konflik bermula, namun pertempuran berdarah pantas merebak ke beberapa daerah.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan lebih 400 orang awam terkorban setakat ini.

Bagaimana orang awam turut terlibat dalam konflik ini?

Walaupun konflik hanya melibatkan dua pihak, ia turut memberikan kesan besar kepada orang awam. Ini kerana, kebanyakan lokasi pertempuran berlaku di kawasan-kawasan bandar.

Setakat ini, pangkalan RSF tidak dapat ditentukan dengan jelas tetapi anggota-anggotanya dilaporkan berada di kawasan utama dihuni penduduk.

Dalam pada itu, Tentera Udara Sudan turut melancarkan serangan udara ke arah kedudukan RSF yang berada di ibu kotanya. Bandar berkenaan merupakan antara bandar utama yang dihuni lebih 6 juta penduduk.

Kombinasi dua perkara di atas menyaksikan korban tinggi dicatatkan dalam kalangan orang awam selain laporan kerosakan serius melibatkan harta benda.

Beberapa siri genjatan senjata turut diumumkan oleh kedua-dua belah pihak bagi membenarkan orang awam melarikan diri. Malangnya, tiada sesiapa pun yang memantau bagaimana gencatan senjata tersebut berjalan.

Apakah Rapid Support Forces (RSF)?

RSF telah ditubuhkan pada 2013 dan berasal dari pasukan militan Janjaweed yang dahulunya memerangi golongan pemberontak di Darfur.

Dalam tempoh berkenaan, RSF terpalit kontroversi apabila didakwa terlibat dalam kempen pembersihan etnik di wilayah tersebut.

Sejak penubuhannya, Jeneral Dagalo telah membina pasukan bersenjata yang kuat dan mampu campur tangan dalam beberapa konflik yang berlaku di Yaman dan Libya. Beliau turut memegang kepentingan ekonomi di Sudan dengan mengawal beberapa lombong emas.

RSF turut didakwa atas beberapa jenayah yang melibatkan pelanggaran hak asasi kemanusiaan. Antaranya pembunuhan beramai-ramai melibatkan 120 penunjuk perasaan pada Jun 2019.

Pasukan bersenjata sekuat RSF yang bukan pasukan kenteraan utama Sudan dilihat sebagai salah satu punca ketidakstabilan dalam negara tersebut.

Mengapa Sudan diperintah tentera?

Konflik ini merupakan episod terbaharu selepas penyingkiran Presiden Omar al-Bashir pada 2019, selepas sekian lama beliau berkuasa. Bekas presiden itu memerintah Sudan sejak rampasan kuasa yang berlaku pada 1989.

Pada 2019, tunjuk perasaan meletus yang mendesak Omar al-Bashir melepaskan jawatan selepas hampir tiga dekad memegang tampuk pemerintahan.

Melihat kepada kebangkitan orang awam, pasukan tentera kemudian melancarkan kempen rampasan kuasa dan menyingkirkan Omar al-Bashir dari kedudukannya. Walau bagaimanapun, orang awam tidak berhenti di situ dan terus melaksanakan protes supaya demokrasi dilaksanakan di Sudan.

konflik sudan
Jeneral Abdel Fattah al-Burhan | Kredit: AFP

Maka, sebuah kerajaan yang terdiri dari orang awam dan tentera telah ditubuhkan tetapi jangka hayatnya tidak lama. Kerajaan tersebut telah ditumbangkan oleh Jeneral Burhan dalam rampasan kuasa pada Oktober 2021.

Sejak itu, permusuhan antara Jeneral Burhan dan Jeneral Dagalo menjadi semakin tegang. Satu perjanjian rangka kerja untuk mengembalikan kuasa pemerintahan ke tangan orang awam dipersetujui pada Disember lalu.

Namun begitu, perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian tersebut kelihatan gagal dalam mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak.

Apa yang dikehendaki oleh kedua-dua pihak?

Dalam beberapa ciapannya di laman Twitter, Jeneral Dagalo menuduh kerajaan pimpinan Jeneral Burhan bersifat ‘Islamis yang radikal’.

Pada masa yang sama, beliau mendakwa RSF berjuang untuk rakyat Sudan bagi memastikan mereka mendapat mengecapi kemajuan demokrasi yang diimpikan selama ini.

Sungguhpun begitu, banyak pihak berasa sansi dengan janji Jeneral Dagalo susulan rekod RSF yang terpalit dengan beberapa insiden kezaliman sebelum ini.

Manakala Jeneral Burham pula berkata, beliau menyokong idea untuk mengembalikan pemerintahan awam. Namun begitu, pihaknya hanya menyerahkan kuasa tersebut kepada kerajaan yang dipilih sahaja.

Terdapat beberapa keraguan disebalik tindakan kedua-dua jeneral ini. Kedua-duanya dilihat seakan-akan tidak mahu melepaskan kedudukan masing-masing dan kehilangan kekayaan serta pengaruh yang dimiliki ketika ini.

Apa yang dilakukan oleh beberapa negara lain?

Terdapat kebimbangan bahawa pertempuran ketika ini boleh memecah belahkan negara, memburukan lagi pergolakan politik dalaman dan merebak ke negara-negara jirannya.

Bagi menjernihkan keadaan, para diplomat perlu memainkan peranan dalam usaha mengembalikan kekuasaan pemerintahan terhadap orang awam.

Mereka juga perlu mencari jalan untuk memastikan kedua-dua jeneral ini dapat bertemu untuk berbincang bagi menyelesaikan kemelut yang dialami oleh negara tersebut.

Blok serantau turut bersetuju menghantar tiga presiden dari tiga buah negara iaitu Kenya, Sudan Selatan dan Djibouti ke Khartoum bertemu dengan kedua-dua jeneral itu, namun misi itu tidak pernah berlaku.

Manakala, UK, Amerika Syarikat (AS) and Kesatuan Eropah (EU) menggesa agar kedua-dua melaksanakan gencatan senjata dan berbincang untuk menyelesaikan situasi tersebut.

Kebanyakan negara pula dilaporkan sedang memberi fokus untuk mengeluarkan warganegara masing-masing daripada Sudan dengan selamat.

BACA: 4 Suspek Diberkas, Dipercayai Rompak Pelantar Minyak Di Tanjung Langsat

Sumber: BBC

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma