Siakap Keli
Bahang Panas April
SUMBER WORLD METEOROLOGICAL ORGANIZATION

Bahang Panas April, Beberapa Negara Asia Tenggara Rekod Suhu Tertinggi

Bahang Panas April, Beberapa Negara Asia Tenggara Rekod Suhu Tertinggi

Suhu tinggi direkodkan di beberapa negara Asia sejak beberapa minggu lalu selepas benua itu dicekam haba panas sepanjang April.

Menurut laporan CNN, di Asia Tenggara, beberapa negara mencatatkan suhu tertinggi yang pernah direkodkan. Manakala di India, sekurang-kurangnya lebih sedozen maut akibat cuaca panas.

Laos menjadi negara terkini yang mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarahnya apabila suhu sehingga 42.7 darjah celcius dicatatkan di Luang Prabang pada Selasa. Di Thailand, suhu setinggi 45 darjah celcius direkodkan buat pertama kali, kata agensi meteorologinya.

Bandar paling utaranya di Tak, merekodkan suhu 45.4 darjah celcius. Bagaimanapun, kota-kota di Thailand secara purata mencatatkan suhu diantara 30 – 40 darjah celcius sejak akhir Mac.

Bahang panas April diramal berterusan

Situasi berubah pada April apabila Thailand mengeluarkan amaran kesihatan untuk beberapa wilayah. Amaran itu dikeluarkan kerana indeks haba diramalkan mencecah 50.2 darjah celcius, seperti di Bang Na di Bangkok.

Indeks haba adalah ukuran bagaimana suhu itu dirasai, dengan mengambil kira suhu udara dan kelembapan untuk mengukur impaknya.

Malah, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha turut menyatakan kebimbangannya terhadap bahaya suhu tinggi yang melanda Thailand ketika ini. Ujarnya, indeks haba di Bang Na boleh mencapai sehingga 52.3 darjah celcius.

Dalam pada itu, jiran Thailand, Myanmar pula mencatatkan rekod suhu pada bulan April apabila daerah Kelewa di tengah  Segaing mencapai 44 darjah celcius.

Lazimnya, bulan April dan Mei merupakan bulan paling panas di Asia Selatan dan Tenggara apabila suhu meningkat sebelum hujan monsun bermula.

Bagaimanapun, suhu panas dirasai di Thailand diburukkan lagi dengan keadaan jerebu yang turut menyebabkan paras pencemaran meningkat.

Chiang Mai bandar paling tercemar

Kawasan tumpuan pelancong di Chiang Mai disenaraikan sebagai bandar paling tercemar di dunia selama tujuh hari berturut-turut. Pencemaran udara itu berpunca daripada kebakaran hutan dan juga pembakaran sisa tanaman.

Sekurang-kurangnya sebuah hospital di wilayah itu mencapai kapasiti penuh ketika orang ramai hadir mendapatkan rawatan untuk masalah pernafasan.

Suhu panas juga telah merebak ke China apabila suhu tertinggi  42.4 darjah celcius dicatatkan di Yuanyang dan di tenggaranya.

Di Pakistan, Bangladesh, India dan Nepal, suhu mencecah 40 darjah celcius dicatatkan selama beberapa hari.

Walaupun suhu tinggi di beberapa tempat di Asia yang dicatatkan tidak memecahkan rekod sebelum ini, namun risiko kepanasan melampau hingga membawa maut tetap ada.

Menurut Jabatan Meteorologi India, 48 stesen cuaca merekodkan suhu melebihi 42 darjah celcius  dengan suhu tertinggi 44.2 darjah celcius direkodkan di Timur Odisha.

Di barat Maharashtra pula, sekurang-kurangnya 13 orang maut akibat strok haba selepas menghadiri satu acara peringkat negeri.

Dianggarkan, lebih sejuta orang menghadiri majlis itu menyaksikan 50 hingga 60 orang dimasukan ke hospital akibat kepanasan melampau.

Satu kajian pada 2022 mendapati bahawa gelombang haba berbahaya akan berlaku di antara tiga dan 10 kali lebih kerap menjelang pergantian abad ini. Hari yang digelar sebagai ”suhu berbahaya ekstrem” oleh pakar, iaitu pada 51 darjah celcius mungkin boleh berlaku.

Di kawasan tropika yang merangkumi sebahagian besar Asia, orang ramai mudah terdedah kepada haba berbahaya hampir setiap hari sepanjang tahun. Suhu panas di seluruh Asia Selatan dan Tenggara ini dijangka akan berterusan untuk beberapa tempoh lagi.

BACA: Kanak-kanak Empat Tahun Maut Didera

Sumber: CNN 

Mohd Raimi Ismail

peace on earth

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.