Siakap Keli
kebocoran gas ludhiana
Gambar: India Today

11 Orang Maut Akibat Kebocoran Gas Di Ludhiana

11 Orang Maut Akibat Kebocoran Gas Di Ludhiana

Sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam kejadian kebocoran gas di kawasan perindustrian Giaspura di Ludhiana pada Ahad, lapor AFP.

Komisioner Polis Ludhiana, Mandeep Singh yang mengesahkan kejadian itu berkata bahawa empat lagi mangsa telah dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, menurutnya, punca kejadian itu masih lagi sedang disiasat.

“Punca sebenar dan jenis gas dapat diketahui apabila ujian ke atas sampel darah dilakukan,” katanya.

Sementara itu, wartawan NDTV melaporkan bahawa lima wanita merupakan antara mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu.

Manakala, enam lagi mangsa melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 10 hingga 13 tahun.

Kejadian kebocoran gas ini bukan pertama kali berlaku di kawasan industri di negara terbabit.

BACA: 10 Maut, 251 Cedera, Akibat Kebocoran Gas Kimia Di Pelabuhan Jordan

Menurut AFP, sekurang-kurangnya 112 wanita telah dimasukkan ke hospital selepas terhidu gas yang bocor di kawasan loji di daerah Andhra Pradesh pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, kejadian hampir sama turut berlaku pada Jun apabila 200 wanita dilaporkan tidak sedarkan diri selepas berlaku kebocoran gas di lokasi sama.

Pada tahun 2020, sekurang-kurangnya 15 orang dilaporkan terbunuh dan dimasukkan ke hospital susulan kebocoran gas di loji kimia di Visakhapatnam.

Manakala, 1,000 orang dipercayai telah terdedah dengan gas tersebut dan lebih 500 telah dimasukkan ke hospital dengan simptom gangguan pernafasan yang teruk dan iritasi pada mata.

Pemindahan secara besar-besaran juga dilakukan kerana bimbang mengenai keselamatan penduduk.

Malah, pada tahun 1984, kebocoran gas turut berlaku di loji racun perosak di bandar Bhopal.

Difahamkan, seramai 3,500 orang penduduk yang tinggal berhampiran loji itu telah meninggal dunia akibat kejadian itu. Lebih memilukan, ada penduduk yang masih mengalami kesan daripada kebocoran gas itu sehingga hari ini.

Manakan tidak, terdapat juga bayi yang masih dilahirkan cacat dengan kaki dan tangan yang berselaput.

Tidak cuma itu, pertumbuhan mereka juga terbantut dipercayai akibat daripada gas tersebut.

BACA JUGA: Pembinaan Masjid Changlun Diteruskan, Tambahan Peruntukan RM3.07 Juta – PM Anwar

Sumber: AFP

Ezzatul Syafiqah