Israel Robohkan Kampung Palestin Untuk Kali Ke-216
JERUSALEM, 1 Mei (Bernama-Anadolu) — Tentera Israel sekali lagi merobohkan sebuah perkampungan Palestin di wilayah selatan Negev di Tebing Barat pada Isnin.
Tentera Israel bertindak menyerbu dan memusnahkan perkampungan itu buat kali ke-216, ahli Jawatankuasa Pertahanan al-Araqib, Aziz al-Touri memberitahu Anadolu.
Al-Touri menegaskan bahawa penduduk kampung bertekad untuk membina semula kediaman mereka sekali lagi, setiap kali dimusnahkan oleh tentera Israel.
Rumah di Al-Araqib yang didiami oleh 22 keluarga Palestin itu diperbuat daripada kayu, plastik dan besi.
Perkampungan itu mula dimusnahkan pada 2010.
Pihak berkuasa Israel mendakwa bahawa tapak perkampungan itu merupakan “rizab negara.”
Pihak berkuasa Israel berusaha merampas tanah dan mengusir penduduknya, dengan berpuluh-puluh kampung menghadapi ancaman yang sama di kawasan Negev.
BACA: JPM (Hal Ehwal Agama) Arah Masjid, Surau Buat Solat Hajat Untuk Rakyat Palestin
Israel umum sekatan terhadap rakyat Palestin ke Al-Aqsa ketika Ramadhan
Sebelum ini, media melaporkan Israel telah mengumumkan sekatan terhadap rakyat Palestin untuk memasuki Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan.
“Wanita dari semua peringkat umur, kanak-kanak lelaki sehingga 12 tahun dan lelaki berusia lebih 55 tahun bagaimanapun akan dibenarkan masuk ke Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan tanpa permit,” Agensi Anadolu memetik penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah, Mej Jen Ghassan Alyan, berkata dalam satu kenyataan pada Isnin.
Israel akan “mengenakan permit kepada lelaki berumur 45 hingga 55 tahun,” katanya.
Pegawai Israel itu juga berkata “kelulusan keselamatan” diperlukan bagi rakyat Palestin di Tebing Barat untuk melawat saudara mereka di 48 wilayah, atau warga asing melawat saudara mereka di Tebing Barat.
Di Semenanjung Gaza, Israel mengenakan “kuota terhad” untuk wanita berumur 50 tahun ke atas, dan lelaki berumur 55 tahun ke atas, dari Ahad hingga Khamis, untuk memasuki Masjid Al-Aqsa, menurut kenyataan itu.
Ketegangan telah meningkat di seluruh Tebing Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan serbuan tentera Israel ke bandar-bandar Palestin.
Hampir 90 rakyat Palestin dan 14 warga Israel telah terbunuh dalam serangan berasingan sejak awal tahun ini.
Sumber: BERNAMA
BACA: Hati-hati, 5 Makanan Manusia Yang Bahaya Dimakan Kucing, Termasuk Juadah Raya Ini