SUBANG, 2 MEI 2023 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Teluk Bahang dan Empangan Teluk Air Itam,Pulau Pinang. OPA kali ini adalah usaha bersepadu melibatkan TUDM bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bermula hari ini, 2 Mei 2023 dan dijangka sehingga 4 Mei 2023 mengikut keadaan.
Pelaksanaan OPA ini telah dimulakan dengan taklimat penerbangan dan keselamatan oleh Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly bin Abu Bakar TUDM yang menerbangkan pesawat angkut C130 Hercules.
Kerja-kerja bagi OPA ini telah dimulakan dengan bancuhan garam oleh pihak MET Malaysia dan TUDM bermula kira-kira jam 11.00 pagi. Sebanyak empat (4) buah tangki bancuhan larutan garam telah disediakan dengan muatan 1,500 liter setiap satu tangki. Setiap tangki ini memerlukan 200 kilogram garam menjadikan keseluruhannya campuran air garam yang mengandungi 800 kilogram garam dan 6,000 liter air. Setelah mengambil masa lebih kurang tiga (3) jam penyediaan bancuhan, keempat-empat tangki ini kemudiannya telah dimasukkan ke dalam badan pesawat C130H oleh anak kapal No 20 Skuadron. Bagi operasi kali ini, pesawat angkut milik TUDM telah diterbangkan oleh Komander Pesawat, Leftenan Kolonel Mohd Khairol Fadly bin Abu Bakar TUDM; Juruterbang Pertama, Mejar Mohammad Irwan bin Kamarudzaman TUDM dan Pembantu Juruterbang, Kapt Ahmad Aslam Hadi bin Hassan TUDM berlepas pada jam 2.45 petang dari Pangkalan Udara Subang. Penerbangan bagi misi OPA turut disertai lima (5) anak kapal iaitu Mej Solihin bin Azman TUDM, Mejar Yusof bin Baydowi TUDM, Pegawai Waran Udara 1 Saifu bin Abdullah, Sarjan Udara Khusyairi, empat (4) orang kakitangan MET Malaysia serta seorang kakitangan daripada Badan Kawal Selia Air.
Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu usaha-usaha pembenihan awan bagi memulihkan bekalan air yang terjejas dan semakin menyusut di kawasan tadahan hujan. Pihak TUDM melalui No 20 Skuadron tetap komited membantu misi OPA bermula hari ini dan diteruskan bergantung kepada keperluan. Semoga usaha tersebut mendatangkan hasil dan dapat diatasi segera.