Siakap Keli
ai terjemah aktiviti otak
Kredit: University of Texas

Saintis Bangunkan Sistem AI Boleh Terjemah Aktiviti Otak Manusia Kepada Teks 

Saintis Bangunkan Sistem AI Boleh Terjemah Aktiviti Otak Manusia Kepada Teks 

Para saintis kini telah membangunkan satu sistem kepintaran buatan (AI) bukan invasif, yang berfokuskan untuk menterjemah aktiviti otak manusia kepada rangkaian teks.

Maklumat berkaitan pembangunan sistem ini diperoleh menerusi sebuah kajian yang diterbitkan pada Isnin lepas, menerusi jurnal Nature Neuroscience.

Difahamkan, sistem tersebut dikenali sebagai dekoder semantik yang dikatakan mampu memberi manfaat kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Antaranya, pasakit-pesakit yang kehilangan keupayaan untuk berkomunikasi akibat mengalami strok, lumpuh dan beberapa penyakit lain.

Para pengkaji di University of Texas telah membangunkan sistem ini dengan menggunakan model transformer, yang mana model ini mirip dengan model yang digunakan untuk menyokong chatbod Google, Bard dan chatbot OpenAI, ChatGPT.

Para peserta akan melatih sistem dekoder ini dengan mendengar podcast selama beberapa jam di dalam sebuah pengimbas fMRI. Eksperimen ini juga tidak memerlukan peserta untuk menjalani sebarang pembedahan yang memerlukan penanaman implan dalam anggota badan.

Apabila sistem AI ini sudah ‘dilatih’, ia mampu untuk menjana rangkaian teks ketika para peserta sedang mendengar atau membayangkan cerita yang baru sahaja didengari.

Sungguhpun begitu, hasil teks dari sistem tersebut bukanlah transkripsi buah fikiran yang sebenarnya. Para pengkaji mereka sistem ini untuk ‘menangkap’ buah fikiran atau idea peserta secara am.

Teks yang dihasilkan sistem AI hampir tepat dengan konteks buah fikiran manusia

Menurut satu laporan akhbar, sistem yang terlatih akan menghasilkan rangkaian teks yang mirip dengan maksud kata-kata yang ingin diungkapkan oleh peserta dalam separuh masa penggunaannya.

Sebagai contoh, ketika seorang peserta mendengar ayat ‘Saya masih tidak memiliki lesen pemanduan lagi’ dalam sesi eksperimen, fikirannya diterjemahkan sebagai “Dia masih belum mempelajari cara untuk memandu’.

“Bagi kaedah bukan invasif, ini adalah satu lonjakan sebenar berbanding apa yang telah dilakukan sebelum ini yang biasanya hanya mengeluarkan perkataan tunggal atau ayat pendek,” kata salah seorang ketua penyelidikan, Alexander Huth, dalam satu kenyataan.

“Kami akan mendapatkan sebuah model untuk menyahkod bahasa secara berterusan bagi jangka masa yang panjang serta idea yang kompleks.”

Selain itu, ada beberapa peserta yang diminta iaitu untuk menonton empat video yang diiringi audio ketika berada dalam pengimbas terbabit.

Hasilnya, sistem AI tersebut dapat menerangkan ‘beberapa peristiwa’ secara tepat daripada buah fikiran peserta, tambah kenyataan tersebut.

Walau bagaimanapun, dekoder tersebut dikhabarkan tidak dapat digunakan di luar makmal kerana kebergantungan pada pengimbas fMRI.

Namun, para pengkaji percaya bahawa terdapat lebih banyak penciptaan peranti yang mampu merekodkan sistem otak manusia

Setakat ini, pengkaji-pengkaji kajian terbabit telah menfailkan permohonan paten PCT (Patent Cooperation Treaty) bagi bidang teknologi.

BACA: Youtube Dah Setahun ‘Sunyi’, Netizen Tertanya-tanya Kemana ‘Hilangnya’ Sugu Pavithra

Sumber: CNBC

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.