Siakap Keli
simpan duit raya anak
Kredit: @DirectlendingMY/Twitter

Rugi Guna Akaun Biasa, Ini Tiga Tempat Simpan Duit Raya Anak Yang Lebih Untung

Rugi Guna Akaun Biasa, Ini Tiga Tempat Simpan Duit Raya Anak Yang Lebih Untung

Apabila mempunyai anak, pasti akan akan mula terfikir mengenai pendidikan dan masa depan mereka apabila menjelang dewasa.

Adalah penting untuk menyusun atur strategi ketika mereka masih bayi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan simpanan duit anak-anak.

Menjelang perayaan istimewa seperti Hari Raya, ibu bapa akan mula menyimpan duit raya yang diterima oleh anak-anak mereka.

Tahukah anda, sebenarnya dengan hanya simpan di akaun simpanan tidak cukup untuk membuatkan wang tersebut ‘tumbuh’ dengan lebih banyak.

Ibu bapa perlu berfikir ke hadapan dengan tingkatkan strategi untuk menyimpan duit anak-anak ke tabung yang mempunyai dividen setiap tahun, supaya ia membantu meringankan bantuan kewangan pada masa akan datang.

Namun begitu, tempat simpanan wang perlulah sah dan mendapat kelulusan pihak tertentu agar tidak terlibat dengan mana-mana penggubalan wang haram.

BACA: Kerajaan Perlu Pertimbang Baki Simpanan Pencarum KWSP

Tiga tempat simpan duit anak-anak yang lebih untung

Menerusi perkongsian @DirectlendingMY, terdapat tiga tempat simpanan duit anak-anak yang memberikan keuntungan kepada para ibu bapa.

SSPN Plus

Kredit: PTPTN

Menurut perkongsian tersebut, ibu bapa boleh mempertimbangkan untuk membuka akaun SSPN Plus (dahulu dikenali SSPN i-Plus) untuk anak-anak mereka. 

“Deposit RM20 sahaja untuk buka akaun dan akaun ini sesuai untuk tanggung kos belajar anak-anak nanti.

“Yang paling seronok kalau simpan dekat sini (SSPN Plus), akan dapat kadar dividen 4 peratus setahun.

“Lebih tinggi daripada simpanan dekat akaun fixed deposit dan tambah lagi boleh dapat pelepasan cukai,” katanya.

Jelasnya lagi, dengan adanya tabung simpanan ini, apabila anak melepasi umur 17 tahun, ibu bapa tidak akan diperlukan untuk membuat pinjaman.

Ini kerana wang tersebut sudah ‘tumbuh’ kepada angka yang lebih besar.

Amanah Saham Berhad (ASB) 3 Didik

Kredit: BERNAMA

Sementara itu, pilihan kedua adalah dengan memilih ASB sebagai tabung simpanan duit raya anak-anak.

Difahamkan, ibu bapa boleh membuka akaun ASB serendah deposit RM100.

“Akaun ini memang diuruskan bawah Amanah Saham Nasional Berhad. Apabila anak dah cecah umur 18 tahun nanti akaun ini akan ditukarkan kepada akaun simpanan ASNB.

“Dividen pun agak tinggi juga bila simpan di ASB 3 Didik ini dalam 4 peratus hingga 6 peratus setiap tahun.

“Jadi kalau tidak keluarkan, memang untung anak-anak pakai nanti. Jadi ASB 3 Didik ini memang simpanan khas untuk pendidikan anak,” ujarnya.

Tabung Haji

Kredit: BERNAMA

Untuk tabung simpanan yang terakhir, semestinya yang paling dikenali ramai iaitu Tabung Haji.

Walaupun Tabung Haji ini tidak terkenal untuk simpanan wang, namun kadar nilai dividen dan bonus adalah tinggi.

“Jumlah deposit untuk buka akaun serendah RM10 sahaja. Nak simpan bila-bila dan sebarang jumlah pun boleh.

“Selalunya direct debit sahaja daripada akaun.

“Nak buat potongan gaji pun lagi bagus, biar lebih konsisten sebab kalau simpanan cukup RM1,300 dah boleh daftarkan anak untuk haji nanti,” jelasnya.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, amat penting untuk membuat simpanan anak-anak agar masa depan mereka terjamin.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web SSPN Plus, ASB dan Tabung Haji.

Jadi antara tiga tabung simpanan ini, yang mana satu memikat selera?

Sumber: @DirectlendingMY/Twitter

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.