Siakap Keli
ular tedung ludah
Kredit The Thaiger

Ngeri, Mata Lelaki Nyaris Buta Kena Ludah Dengan Ular Tedung

Ngeri, Mata Lelaki Nyaris Buta Kena Ludah Dengan Ular Tedung

Seekor ular tedung dilaporkan meludah bisanya ke arah mata pegawai Pencegahan Bencana di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand, lapor Thaiger.

Ekoran daripada kejadian itu, pegawai penyelamat telah bertindak pantas dan akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa dan penglihatan pegawai tersebut.

Laporan telah diterima oleh Unit Penyelamat Hook 31 pada jam 7.40 malam yang menyatakan bahawa seorang lelaki telah disembur bisa seekor ular tedung. Kejadian berlaku di Kampung Ban Tanot, mukim Ban Pho, daerah Mueang.

Sampai sahaja pasukan penyelamat ke lokasi kejadian, mereka mendapati mangsa berusia 49 tahun dalam kesakitan yang tidak tertanggung.

Tidak jauh di atas lantai terdapat seekor ular tedung Siam sepanjang satu meter yang sudah mati.

Pasukan penyelamat kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Maharat Nakhon Ratchasima untuk mendapatkan rawatan lanjut

Di sepanjang jalan ke hospital, pasukan penyelamat mencuci mata mangsa yang kepanasan dengan air garam, langkah yang akhirnya menyelamatkannya daripada menjadi buta.

Selesai mendapatkan rawatan, dalam keadaan mata kirinya berbalut mangsa sempat berkongsikan ceritanya kepada pemberita.

BACA: Kejadian berlaku semasa operasi menangkap ular tedung di rumah penduduk

Menurut mangsa, rakan sekerjanya telah meminta bantuan untuk operasi menangkap ular di sebuah kampung.

Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa melihat seekor ular sedang melingkar di atas penyapu. Dia dengan pantas menggunakan peralatan menangkap ular untuk menangkap ular tersebut.

Ketika mangsa cuba menangkap kepala ular itu, haiwan itu telah bertindak menyembur bisa ke arah mata mangsa.

Mangsa kemudian menelefon panggilan kecemasan dan meminta nasihat tentang tindakan yang perlu dilakukan sementara pasukan penyelamat sampai.

Mangsa disuruh untuk mencuci matanya dengan air garam dan pergi ke hospital secepat yang mungkin.

Mangsa menjelaskan lagi bahawa sebagai pegawai Pencegahan Bencana, dia telah menangkap ular beratus kali.

Tambah mangsa lagi, kebanyakan ular di kawasan itu adalah ular tedung dan kadang-kadang ular sawa juga sering ditemui.

Menurut mangsa, sewaktu operasi tersebut dia telah bertindak dengan terburu-buru sehingga tidak membawa peralatan pelindung diri yang lengkap untuk menangkap ular berbisa.

Katanya lagi, biasanya dia akan memakai topeng atau cermin mata untuk melindungi matanya daripada disembur bisa ular tedung.

Peristiwa itu telah menjadi pengajaran kepada mangsa untuk sentiasa berhati-hati di masa hadapan ketika berurusan dengan haiwan tersebut.

Sumber: The Thaiger

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.