Siakap Keli

Program Aidilfitri Malaysia Madani@Dataran Merdeka

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik akan menganjurkan Program “Aidilfitri Malaysia MADANI@Dataran Merdeka” pada 13 Mei 2023 (Sabtu) bersamaan 22 Syawal 1444H, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Program tersebut dijangka dihadiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.

Program dengan konsep yang serupa julung kali diadakan pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara. Acara tersebut telah menarik kehadiran lebih 20,000 orang pengunjung pelbagai latar belakang dengan menu tarikan utama kambing golek dan durian. Acara berkenaan turut menerima anugerah Malaysia Book of Records (MBR) dalam kategori “Penganjuran Masjid Paling Banyak Dalam Acara Rumah Terbuka Hari Raya.” Tahun ini merupakan tahun ketiga penganjuran program semenjak mula diperkenalkan.

Program ini diinisiatifkan melalui pendekatan menghimpunkan masjid-masjid dan surau Jumaat terpilih sekitar Wilayah Persekutuan bagi menyediakan gerai jamuan masing-masing dalam menyantuni tetamu dan memberi makan secara percuma kepada masyarakat dari pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama selaras dengan semangat muhibah masyarakat MADANI melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Sebanyak 120 buah masjid dan surau Jumaat akan mengambil bahagian dalam acara tersebut termasuk dari Putrajaya dan Labuan serta beberapa rakan strategik yang lain. Program kali ini menyasarkan kehadiran seramai 20,000 orang pengunjung.

Melalui penganjuran program Aidilfitri Malaysia MADANI@Dataran Merdeka, kami berhasrat untuk menjalinkan silaturahim dalam kalangan masyarakat di Wilayah Persekutuan; Membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan; Mencetuskan perasaan cakna dan prihatin terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan untuk merasai pelbagai juadah makanan atas semangat muhibah dan perpaduan; Memasyarakatkan dan mempromosikan Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah serta memperkenalkan keunikan makanan-makanan Malaysia kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai menu dan juadah akan disediakan oleh 120 gerai untuk dinikmati oleh para pengunjung. Antara menu utama termasuklah 105 ekor Kambing Golek, Ayam Golek, Nasi Tomato, Nasi Ayam, Lemang dan Rendang, Sate, aneka kuih-muih, buah-buahan dan minuman, McDonalds, Curry Laksa, Dim Sum, Roti Canai dan pelbagai lagi juadah yang menyelerakan. Hidangan makanan kepada pengunjung disediakan secara ‘first come, first served.’

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.