Selamat Hari Ibu Bergema Di Dewan Merdeka
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Ucapan Selamat Hari Ibu bergema di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) apabila pemimpin wanita yang berucap pada Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan mengambil peluang menzahirkan ucapan itu kepada kaum ibu.
Walaupun hanya sekadar mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’, namun ucapan ringkas yang diselitkan dalam ucapan Pengerusi Wanita Barisan Nasional yang juga Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita DAP Chong Eng, Ketua Wanita MCA Wong You Fong dan Ketua Wanita MIC Datuk M.Mohana itu memberi kenangan manis.
Manakan tidak, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali dengan penglibatan semua 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan diadakan serentak pada sambutan Hari Ibu, hari ini.
Selain itu, lebih 3,000 kuntum bunga mawar diedarkan kepada perwakilan yang hadir.
Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Parti Demokratik Progresif (PDP) Dr Florence Christy menjemput perwakilan yang hadir berdiri dan saling bertukar-tukar ucapan Selamat Hari Ibu.
BACA JUGA: “Terima Kasih Jiwa Baik,” Ibu Bapa Bayi Naail Luah Penghargaan
“Silalah berjabat tangan, Happy Mother’s Day kepada semua kita (peserta) di sini,” katanya.
Lebih manis, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika mempengerusikan forum Bicara Rakyat meminta para perwakilan supaya memberikan ‘standing ovation‘ kepada kaum hawa yang bergelar ibu.
Bicara Rakyat merupakan antara pengisian Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 dengan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu memperkasa ekonomi rakyat, membina negara bangsa dan Malaysia MADANI.
Sumber: BERNAMA