Siakap Keli
Kalimah Allah Mais
Gambar: Bernama

Isu Kalimah Allah: MAIS Tidak Setuju Tindakan Kerajaan Tarik Balik Rayuan Kes

Isu Kalimah Allah: MAIS Tidak Setuju Tindakan Kerajaan Tarik Balik Rayuan Kes

SHAH ALAM — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’  dalam penerbitan berkaitan agama Kristian baru-baru ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan pihaknya berpendirian bahawa kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan.

Tetapi ia juga melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.

“Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).

“Walau bagaimanapun, MAIS merasa terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral pihak Kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini.

“Sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam yang bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam di Negeri Selangor.

“MAIS berpegang teguh dan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian di Negeri Selangor,” maklumnya.

Titah Sultan Selangor 

Tambah Abdul Aziz, dalam titah Sultan Selangor menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Negeri Selangor

BACA JUGA: Cadangan Penguatkuasaan Berhubung Kalimah Allah Dipersembah Kepada Majlis Raja-Raja – PM

“Baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Namun begitu, Baginda tiada halangan sekiranya perkataan “Tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God” dalam apa-apa percetakan atau penerbitan berhubung dengan agama Kristian. MAIS juga mengulangi kenyataan MAIS sebelum ini.

“Baginda juga menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Negeri Selangor adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Negeri Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah ini wajar diteruskan. Ia bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi negara dapat memutuskan isu ini secara muktamad.

Perkara ini sekaligus boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah.

“Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.

“Ini untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Negeri Selango,”  katanya dalam kenyataan tersebut

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.