Demi Konsert Coldplay, Lelaki Jual Motor & Peti Sejuk Buat Modal Beli Tiket Termahal
Seorang pemuda di Indonesia dilapor sanggup menjual harta miliknya demi konsert Coldplay yang akan diadakan di Jakarta pada 15 November ini.
Menurut Tribun News, pemuda berusia 31 tahun itu sanggup menjual motorsikal dan peti sejuk miliknya bagi mendapatkan tiket termahal konsert berkenaan. Untuk konsert yang diadakan di Jakarta, tiket termahal dijual pada hara Rp 11 juta (RM 3,348).
Keputusan nekad pemuda itu mendapat perhatian selepas tindakannya mengiklankan barangan tersebut untuk dijual menerusi status Whatsapp menjadi tular.
Sanggup jual motor demi sekeping tiket konsert Coldplay
Dalam iklan berkenaan, dia mahu menjual motorsikal dan peti sejuk jenis Merk GEA 1.2 dan bersedia untuk berunding sehingga barangan tersebut berjaya dijual.
Mengikuti rapat kumpulan berkenaan sejak 2006, dia mahu mendapatkan tiket dengan paket backstage tour kerana itu adalah peluang untuk dia bertemu dengan Coldplay. Katanya lagi, ia adalah peluang sekali seumur hidup yang tidak mungkin akan dilepaskan.
Namun begitu, sekiranya gagal mengumpul kos membeli tiket termahal itu, dia merancang untuk membeli tiket yang lebih murah, asalkan tidak terlepas peluang menghadiri konsert berkenaan.
Menurut Tribun News lagi, pemuda itu juga merancang untuk membuat pinjaman namun hasratnya tidak kesampaian kerana kehilangan kad identiti diri. Kata pemuda itu, kad identiti diri diperlukan jika mahu membuat pinjaman wang.
Selain mahu menjual motorsikal dan peti ais, pemuda itu juga mahu menjual telefon bimbit dan mesin pencetak miliknya.
Terdahulu, Coldplay mengumumkan akan mengadakan jelajah dunia Music of The Spheres di beberapa negara termasuk Indonesia dan Malaysia.
Di Indonesia, konsert berkenaan akan diadakan pada 15 November ini. Manakala di Malaysia pula, konsert berkenaan dijadualkan pada 22 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tiket konsert berkenaan sudah mula dijual sejak dua hari lepas dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakan daripada peminat tempatan.
Bagaimanapun, beberapa pihak terpaksa berputih mata apabila gagal memasuki laman web yang menjual tiket konsert itu secara atas talian. Akibatnya, ramai yang mengadu terlepas peluang untuk membuat pembelian dan kecewa kerana mungkin tidak dapat menghadiri konsert berkenaan kelak.
Selain itu, beberapa pihak juga kecewa apabila sebilangan pembeli mengambil kesempatan menjual semula tiket berkenaan di media sosial. Dalam tinjaun yang dibuat SK di sebuah platform jual beli barang, ada tiket dijual pada harga mencecah RM 20,000.
BACA: Bukan Saja-saja Reka, Ini Sebab Sebenar Bola Keranjang Ada Garisan Hitam & Fungsinya
Sumber: Tribunn News