14 Peminat Coldplay Terpaksa Berputih Mata, Rugi RM9k Kena “Scam” Beli Tiket
Seramai 14 orang peminat Coldplay di Indonesia dilaporkan mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit kerana ditipu sewaktu mendapatkan tiket konsert Coldplay di media sosial, lapor Detik.com.
Kesemua mereka dipercayai telah membuat laporan polis berhubung penipuan itu di Bareskrim Polri.
Peguam yang mewakili kesemua mangsa, Muhammad Zainul Arifin mendakwa bahawa beliau mempunyai surat kuasa daripada 14 mangsa untuk membuat laporan tersebut.
Menurut Zainul, anak guamnya telah rugi sebanyak 30 juta Rupiah (RM 9,115)
Laporan Zainul didaftarkan oleh Polis Bareskrim pada 19 Mei lalu. Laporan itu dibuat kerana berlakunya penipuan dalam proses jual beli tiket konsert tersebut.
Menurut Zainul, penipuan didakwa telah dilakukan di Twitter, Instagram dan Telegram. Pada mulanya, mangsa dan pelaku terlibat dalam perbualan melalui media sosial sahaja.
Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat transaksi mengikut nominal yang ditetapkan. Namun selepas mangsa menghantar bukti pemindahan tersebut, pelaku terus menyekat nombor mangsa.
Jual beli dibuat dalam media sosial
“Salah seorang mangsa terjebak melalui Twitter, dia telah melakukan pemindahan wang sebanyak 9 juta Rupiah (RM2,734), tetapi akhirnya tidak mendapatkan tiket yang dijanjikan. Dia menghubungi pelaku namun sudah disekat.
“Kami syak beberapa promoter tiket turut terlibat dalam penipuan tersebut. Kerana selepas perebutan tiket itu dibuka ia langsung ditutup selepas mangsa membuat bayaran. Oleh itu, kami mengesyaki mungkin ada orang lain yang terlibat dalam penipuan itu,” kata Zainul.
Selain itu, Zainul juga mengesyaki terdapat lebih daripada seorang pelaku yang terlibat dalam penipuan jualan tiket konsert tersebut.
“Selepas mengesan corak ini, ternyata ada beberapa orang yang terlibat dalam sindiket ini. Malah nama akaun bank juga ada yang mempunyai nama yang sama.
Bukti elektronik yang kami sediakan adalah KTP pelaporan, kemudian penyata bank, bukti pemindahan, nombor akaun bank pelaku dan nombor telefon bimbit pelaku. Bukti yang lain termasuk pesanan di aplikasi WhatsApp, Instagram dan Twitter,” tambah Zainul.
Memetik detikNews, Brigedier Jenerl Dirtipidsiber, Polri Adi Vivid mengesahkan dakwaan penipuan penjualan tiket konsert Coldplay tersebut.
“Kami mendengar terdapat dakwaan penipuan penjualan tiket dalam talian konsert Coldplay melalui hasil siasatan di laman siber,” kata Vivid kepada wartawan Khamis lalu.
Sumber: Detik.com