Siakap Keli

Nak Tambah ‘Followers’ Punya Pasal, Trend Kongsi Tips Pelik Di Media Sosial Makin Menjadi-jadi?

Nak Tambah ‘Followers’ Punya Pasal, Trend Kongsi Tips Pelik Di Media Sosial Makin Menjadi-jadi?

Penggunaan media sosial yang semakin berleluasa mendorong kepada berlakunya kebebasan bersuara dari segenap lapisan masyarakat. Kebebasan bersuara sememangnya mempunyai kebaikan dalam membangkitkan isu penting kehidupan rakyat terutama bagi menegakkan hak dan kebenaran.

Walau demikian, ia juga perlu mempunyai limitasi dan perlu akur kepada standard moral demi kemaslahatan masyarakat. Jika kebebasan diberi secara total, ia boleh membawa akibat buruk seperti penyebaran maklumat palsu yang tidak berasas sekaligus berupaya memesongkan orang lain.

Jika diperhatikan, ada antara individu berkepentingan menggunakan kebebasan bersuara untuk meraih pengikut yang ramai dengan ‘ilmu’ atau tips pelik di media sosial. Malah, ada yang membuat duit dengan mencipta maklumat salah serta bertindak berani mengulas atau mengkritik sesuatu perkara di luar kepakaran mereka.

Kegiatan ini semakin menjadi-jadi apabila ada antara mereka mempunyai ramai pengikut tersendiri yang akan melindungi ‘pempengaruh’ kesayangan mereka daripada kecaman masyarakat, malah ada yang sanggup ‘menyerang’ kenyataan pakar sesuatu bidang itu sendiri.

Jika hendak diulas, terdapat pelbagai isu-isu atau kandungan yang menimbulkan kontroversi berlaku di media sosial. Daripada pelbagai topik, semuanya dibincangkan sehingga ada yang membuat fakta sendiri supaya dapat menarik perhatian warganet seterusnya menambah pengikut.

Menurut Pew Research Center, ramai pakar khuatir sekiranya sikap manipulatif sebahagian pengguna di dalam Internet menjejaskan lingkungan selamat dalam platform tersebut.

Tak terhenti di situ, kita juga pernah menyaksikan kewujudan ‘pempengaruh’ berkot putih yang berkongsi pelbagai tips yang tidak dapat disahkan kesahihannya. Perkongsian ini mendapat tentangan daripada golongan profesional kesihatan yang mendakwa ia tidak bersandarkan ilmu perubatan yang sebenar.

Dalam satu laporan oleh CEU Democracy Institute bertajuk “The Business of Misinformation – Final Report: How Misinformation Became a Profitable Business in Eastern Europe”, penyelidik mendakwa terdapat kelompok yang menggunakan berita palsu untuk menjana keuntungan kewangan.

Malah berdasarkan statistik dikeluarkan Statista.com, pada 2021, keuntungan sebanyak 2.6 bilion USD berjaya diperoleh daripada laman web yang mengeluarkan berita palsu di seluruh dunia pada tahun 2021.

Lantang Di Luar Kepakaran Punca Misinformation

Jangan tak tahu, kelantangan dalam membahaskan perkara di luar kepakaran, boleh juga menjadi punca penyebaran maklumat palsu sekaligus menyebabkan misinformation. Menurut Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), berita palsu boleh terjadi akibat menyebarkan sesuatu maklumat terlalu cepat tanpa memeriksa kesahihannya atau rujuk kepada sumber yang salah.

Kadang-kadang maklumat palsu ini boleh berlaku juga kerana individu mempunyai niat untuk menyesatkan penerima, menurut CMCF. Sama ada maklumat itu peribadi atau tidak, salah tetap salah kerana perbuatan itu mengundang padah.

Walaupun penyebaran maklumat palsu itu dilihat kecil tetapi ia memberi impak yang besar dalam komuniti. Kerana gila dengan perhatian, individu sanggup melakukan apa sahaja asalkan terkenal sungguhpun dengan berkongsi maklumat palsu.

Justeru, sebagai pengguna media sosial yang bijak, kita perlulah menapis segala maklumat yang diterima dan memastikan kesahihan sesuatu berita dengan merujuk kepada pakar yang berautoriti dalam sesuatu bidang.

*Artikel ini dibawakan oleh Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF).

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana