Mungkin ramai yang mengikuti siri Royal Doctor di aplikasi Viu. Siri Thailand yang membawakan tema ‘time travel’ ini sudah menjangkau episod yang ke-20.
Walau bagaimanapun, tahukah apa yang terjadi di sebalik siri ini? Dan apakah persoalan yang timbul? Jadi sekarang min nak kongsikan temubual bagi siri ini.
- Apakah tanggapan pertama awak tentang skrip ini dan apakah cabaran terbesar awak dalam melakonkan watak ini?
Kimberley Anne Woltemas : Untuk melakonkan watak ini, tak ada cabaran langsung. Sebenarnya, saya tak dapat membacanya apabila mereka bagi saya skrip itu. Chu, pengarah drama ini, menghubungi saya. Dan dia beritahu saya ceritanya. Tapi ceritanya jauh berbeza daripada Thong Ek: The Herbal Master. Dan saya macam, baiklah. Saya akan melakonkan watak itu. Tak sukar untuk saya buat keputusan bagi melakonkan watak ini kerana saya sangat suka pasukan krew ini. Mereka semua hebat. Begitu juga dengan Mario. Dia sangat baik dan mengagumkan. Dia dah seperti abang saya. Jadi saya terus bersetuju.
Mario Maurer: Pada mulanya, tanggapan pertama saya tentang skrip ini ialah…saya sangat menyukainya. Selepas saya merakam “Thong Ek: The Herbal Master”, saya mempunyai hati yang lebih terbuka untuk doktor tradisional Thai. Saya rasa benar-benar terkejut dan kagum kerana mereka boleh membantu orang hanya dengan pokok, tumbuhan, dan dedaun. Ia bukan satu cabaran yang besar buat saya untuk melakonkan watak Thong-On kerana saya amat suka pasukan krew ini dan dapat bekerja dengan Kimberley lagi. Bagi saya, saya tak mempunyai masalah. Saya benar-benar seronok dan menikmati setiap detik sepanjang drama ini.
2. Apakah reaksi peminat yang buat awak terkejut atau tergamam untuk siri ini? Dan kenapa?
Mario Maurer: Ya, saya ada dapat banyak reaksi peminat setelah merakam”Royal Doctor” dan juga “Thong Ek”. Salah satu reaksi biasa peminat saya ialah mereka selalu akan datang kepada saya dan cakap, “Mario atau doktor, boleh awak periksa saya? Boleh awak periksa saya sakit apa? Macam mana keadaan saya hari ini?” Perkara sebegitu. Jadi ia kerap berlaku ketika saya merakam Thong Ek. Tapi setelah saya rakam “Royal Doctor”, ia mula berlaku semula. Sekarang orang datang kepada saya dan cakap, “Hei, Mario. Abang saya ada penyakit.” Saya akan cakap, “Saya cuma pelakon. Saya bukan doktor sebenar. Awak kena hubungi doktor.” Jadi saya merekomenkan doktor yang mengajar saya dalam “Royal Doctor” kepada mereka.
3. Bagaimana watak yang awak lakonkan berbeza daripada diri awak atau bahagian mana yang berbeza dan bahagian mana yang serupa?
Kimberley Anne Woltemas : Mungkin kami berdua pun berasal dari tahun 2023. Ya, itulah perkara yang paling serupa. Dan saya boleh bercakap bahasa saya sendiri, dalam loghat ini dan sebagainya.
Mario Maurer: Saya rasa bahagian yang serupa dengan saya adalah bagaimana Thong-on berseronok.
Dia lelaki yang menyeronokkan dan dia seorang yang sangat positif. Perkara yang berbeza adalah betapa seriusnya Thong-on cuba menjadi doktor. Pada mulanya, dia tak mahu menjadi doktor kerana kerana ayah dan abangnya, semua ialah doktor. Oleh itu, dia tidak begitu mempedulikan untuk menjadi seorang doktor. Tapi bagi saya, saya rasa cara dia meletakkan dirinya untuk menjadi seorang doktor, saya rasa ia sangat signifikan dan mulia. Itu ialah keistimewaan Thong-on yang tak dimiliki oleh Mario. Ya, saya tak mempunyai hati doktor seperti itu
4. Bagaimana awak mempersiapkan diri untuk watak awak?
Kimberley Anne Woltemas: Saya tak begitu banyak mempersiapkan diri kerana saya sebenarnya datang dari masa depan. Saya tak perlu menggunakan loghat Thai yang mereka gunakan pada zaman dahulu. Saya boleh juga bercakap dalam bahasa Inggeris. Dan saya boleh bercakap dalam bahasa Thai biasa.
Mario Maurer: Dalam drama ini, Thong-on merupakan seorang pelajar perubatan pada zaman lalu. Setiap kali kami pergi ke set, kami ada seorang doktor khas bersama kami. Kami macam pelajarnya. Mereka juga ada doktor sebenar yang datang ke sana dan bagi kami cadangan setiap kali kami melakukan penggambaran.
Begitulah saya menjiwai watak. Saya juga melihat keadaan sekeliling. Ada ramai doktor sebenar di set. Jadi mereka bagi saya cadangan, dan pada kebanyakan masa, saya memerhatikan mereka. Bagaimana perwatakan mereka dan bagaimana mereka merawat orang. Begitulah saya menjiwai watak Thong-on.
Saya rasa perkara yang saya lebih fokuskan untuk watak ini ialah ubat dan herba. Kerana pada zaman itu, mereka tidak mempunyai ubat-ubatan seperti yang kita ada sekarang. Satu ubat yang boleh merawat banyak penyakit.
Tapi pada zaman itu, mereka perlu ada proses untuk menghasilkan ubat. Jadi proses ini adalah agak sukar kerana perlu ada segala jenis herba dan dedaun. Dan kadangkala, akar tumbuhan pun diperlukan. Jadi sebab itulah saya perlu begitu fokus ketika membuat ubat kerana ia perkara sebenar. Jadi saya tak boleh terlepas sebarang proses untuk menghasilkan ubat itu.
Jadi ia adalah sangat benar. Sudah tentu kami mempunyai pihak profesional menasihati kami setiap masa. Jadi, ya, saya sangat fokus ketika membuat ubat kerana kami ada peminat dalam kalangan doktor sebenar dan mereka menontonnya. Dan mereka menontonnya dengan teliti.
5. Boleh awak kongsikan pengarah ialah orang yang bagaimana? Bagaimana pula dengan keserasian antara barisan pelakon yang lain?
Kimberley Anne Woltemas: Semua pelakon dan krew adalah begitu sempurna. Kami pernah menjalani penggambaran dalam “Thong Ek” dengan kebanyakan watak tapi ada juga watak-watak baharu dalam drama ini. Jadi ia sesuatu yang baharu dan perkara itulah yang lebih menyeronokkan untuk ditonton kerana ada banyak watak dan malah ada lebih banyak watak berbanding dalam “Thong Ek”.
Mario Maurer: Chudapa ialah seorang pengarah yang sangat istimewa. Bagi saya, dia ialah seperti kakak dan guru saya. Dia banyak melakukan kajian tentang perubatan dan babak-babak memberikan bantuan tentang proses perubatan dan perkara-perkara sebegitu. Dia tahu apa yang dia mahu lakukan. Cara dia menyampaikannya kepada saya adalah sangat jelas. Saya rasa dia sangat membantu saya dengan watak ini. Dia tak pernah menyekat saya.
Jika saya ada buat salah, dia cuma akan beritahu saya dengan elok. Dia salah seorang pengarah yang paling hebat, dan dia sangat merendah diri dan seronok untuk luang masa bersamanya. Ya, jadi saya boleh bekerja dengan dia pada bila-bila masa. Dia memilih semua pelakon dengan sangat baik jadi semua pelajar doktor diraja mempunyai perwatakan istimewa. Mereka benar-benar menjiwai watak-watak mereka dengan baik dan mengingati semua perkataan yang sukar dalam skrip itu.
6. Babak apa yang awak rasa paling sukar dan kenapa?
Kimberley Anne Woltemas: Mungkin adegan-adegan yang dialognya panjang. Ya, apabila saya perlu bercakap mengenai anatomi dan tubuh manusia. Saya juga perlu mengajar Thong-on bagaimana kita menggunakan teknologi pada masa depan, bagaimana kita menggunakan perubatan, bagaimana kita melakukan pembedahan dan segalanya. Saya perlu menerangkan segala-galanya dalam drama ini. Jadi saya rasa itu perkara yang paling sukar.
Mario Maurer: Babak yang paling sukar bagi saya ialah babak di atas sampan. Saya berada di dalam sampan bersama Kimberley dan saya perlu mendayung sampan itu. Tapi saya ada masalah dengan otot saya di sini. Jadi saya tak dapat melakukannya dengan baik. Sangat sukar untuk saya mendayung. Ia sangat menyakitkan, tapi saya perlu mengawal sampan itu. Sampan itu sangat besar, jadi sangat sukar untuk mendayung sampan itu dalam air dan merakam pada masa yang sama dengan rakan pelakon saya. Saya sangat menghormati orang yang pandai mendayung sampan kerana ia sangat besar dan sukar untuk mengawal arahnya. Saya rasa akhir sekali, mereka suruh seseorang pergi ke bawah sampan dan memegangnya saja.
7. Bagaimana suasana di set?
Kimberley Anne Woltemas: Suasana ketika penggambaran di set sangat menyeronokkan. Kerana kami dah biasa dengan semua orang. Pengarah ialah orang yang sama dan para penerbit juga sama. Semuanya sama seperti ketika penggambaran drama “Thong Ek”, jadi ia tak berasa seperti kami sedang bekerja. Ia berasa seperti kami berada di rumah dan berseronok dengan keluarga sendiri. Dan sebenarnya, ketika di hujung penggambaran, saya benar-benar tak mahu ia tamat. Saya berasa sangat sedih kerana saya mahu meneruskan penggambaran.
Mario Maurer: Suasana di set adalah sangat seronok kerana semua krew mengenali satu sama lain dengan baik. Kami dah merakam “Thong Ek: The Herbal Master” sebelum ini. Jadi kali ini dalam “Royal Doctor” pula, dan kami masih dengan krew yang sama. Ramai pelakon yang sama, dan semua krew juga adalah sama. Jadi ia sangat menyeronokkan di set. Suasana di belakang tabir pun sangat menyeronokkan. Tapi kami juga sangat bersemangat kerana kami mempunyai krew yang hebat.
8. Apa perasaan awak bekerjasama lagi?
Kimberley Anne Woltemas: Mario sangat mengagumkan dan dia seorang yang baik. Sangat seronok untuk bekerja dengannya kerana dia mempunyai perangai yang lucu dalam kehidupan sebenar dan juga dalam drama ini. Dia ialah salah seorang pelakon lelaki utama kegemaran saya yang saya pernah bekerjasama.
Mario Maurer: Oh, ia sangat seronok untuk bekerja bersama Kimberley. Dia separuh Jerman seperti saya, dan sangat menyeronokkan untuk bekerjasama dengan dia. Dia sangat bertenaga. Tenaganya sentiasa penuh setiap hari. Apabila saya melakonkan babak dengan dia, saya berasa seperti saya dapat menjiwai watak. Dia banyak membantu saya. Sangat menyeronokkan untuk bekerja dengannya. Dia salah seorang pelakon paling baik yang saya kenali.
9. Apakah perbezaan antara Thong Ek dan Royal Doctor? Adakah ini bahagian kedua?
Kimberley Anne Woltemas: “Royal Doctor” adalah pada Zaman Rama III, dan “Thong Ek” adalah pada Zaman Rama V. Jadi itu sudah agak berbeza. Dalam Royal Doctor, kami banyak bercakap tentang perubatan tradisional Thai. Drama ini tak lucu seperti dalam “Thong Ek”. Tapi ia membuatkan kita berasa seronok. Awak berasa seperti boleh tersenyum sepanjang episod. Ia akan menjadi lebih menyeronokkan dalam setiap episod. Ini bukan musim kedua Thong Ek.
Mario Maurer: Ya, orang salah faham yang “Royal Doctor” ialah… sebahagian daripada “Thong Ek: The Herbal Master”. Tapi sebenarnya, tiada apa-apa yang berkaitan. Mungkin ada watak-watak kecil seperti datuk saya dalam “Thong Ek: The Herbal Master”. Tapi dalam “Royal Doctor”, watak dia ialah seorang budak kecil. Dia ialah budak kecil yang ada dalam keluarga saya. Ya, dia ialah Thong-in. Itu saja. Selebihnya ialah drama yang berbeza. Jadi anda tak perlu menonton “Thong Ek: The Herbal Master” sebelum menonton “Royal Doctor”. Teruskan saja menonton “Royal Doctor”.
10. Bolehkah awak beritahu kenapa kami tak patut terlepas menonton siri ini?
Kimberley Anne Woltemas: Anda tak boleh terlepas menonton drama ini sebab ia sebuah drama yang sangat bagus dan menarik. Saya tak rasa anda selalu dapat menonton sesuatu macam ini. Jadi ia sesuatu yang benar-benar baharu. Watak-wataknya semua sangat menakjubkan.. Dengan pasukan produksi seperti ini, ia berbaloi untuk anda menontonnya. Seperti yang saya katakan, ia akan jadi lebih menarik dalam setiap episod.
Mario Maurer: Anda tak boleh terlepas menonton drama ni kerana ia sesuatu yang istimewa dan penuh dengan gaya Thai. Ia menceritakan tentang perubatan pada Zaman Raja Rama III. Anda juga… Anda akan dapat banyak pengetahuan tentang herba Thai dan perubatan Thai pada masa itu. Selain itu, pada Zaman Raja Rama III, ada orang Eropah atau doktor dari negara asing yang datang ke Thailand seperti doktor Portugis. Mereka datang ke Thailand dan banyak memberi ilmu. Ia sesuatu yang sangat istimewa. Anda takkan dapat menonton drama Thai seperti ini selalu. Jadi anda tak boleh terlepas menontonnya.
11. Boleh awak beritahu tiga kata kunci penting bagi drama ini dan kenapa awak memilih perkataan-perkataan tersebut?
Kimberley Anne Woltemas: Seronok, menghiburkan, dan hebat.
Mario Maurer: Zaman, herba, dan istimewa. Zaman sebab ia berlaku pada Zaman Raja Rama III dan tak banyak drama yang menceritakan tentang Raja Rama III juga. Herba sebab drama kami menceritakan tentang herba dan perubatan, bukan? Ia sesuatu yang istimewa. Seperti saya yang cakapkan, anda tak selalu dapat menonton drama begini dan tidak ramai yang memilih untuk membuat cerita tentang Zaman Raja Rama III.
12. Cuba awak kongsikan watak lain dalam drama ini yang awak suka. Kenapa awak suka watak itu?
Mario Maurer: Saya sangat suka ayah saya dalam drama. Chai Chatayodom melakonkan watak bapa saya. Saya dah banyak kali berlakon dengan dia, tapi kali ini saya rasa dia… Saya cuma perlu menunggu dia melakonkan watak doktor dalam drama ini. Jadi dia benar-benar melakukannya, dengan begitu baik. Apabila saya berada di set dengan dia, saya benar-benar dapat merasakan perasaan ayah saya terhadap saya dan dia benar-benar mendorong dan membantu saya. Dan juga, ketika saya menjadi Thong-on… Thong-on dan ayahnya tak bercakap begitu banyak. Thong-on mempunyai masalah untuk menjadi seorang doktor kerana dia merasakan ayah dan abang dia sudah menjadi seorang doktor. Kenapa dia harus menjadi doktor juga? Keluarganya dah ramai dengan doktor. Tapi bagi saya, saya mahu melakonkan watak Chai kerana saya rasa dia… Dia melakonkan wataknya dengan sangat baik. Dia seorang Doktor Diraja yang sangat berpengaruh. Dia juga mahu mendorong saya menjadi doktor. Tapi cara dia mendorong saya, ia sangat membantu saya untuk mendengar cakap dia. Cara si ayah cuba meyakinkan anaknya untuk menjadi seorang doktor. Jadi saya rasa ia keserasian kecil yang saya rasakan apabila berlakon dengannya. Jadi saya rasa jika saya ingin menjadi satu watak lain, saya mahu melakonkan watak yang lebih dewasa daripada saya, seperti dia. Seperti Thongkham, ya.
13. Adakah awak ada mesej yang ingin disampaikan kepada peminat di Malaysia?Adakah awak bercadang untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat?
Kimberley Anne Woltemas: Hello dan terima kasih atas segala sokongan yang kalian berikan kepada saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya benar-benar berharap dapat berjumpa dengan kalian tak lama lagi.
Mario Maurer: Ya, kepada semua peminat Malaysia saya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana menyokong saya dan saya harap anda semua akan berpeluang untuk menonton “Royal Doctor” kerana ia sangat istimewa dan saya benar-benar berusaha keras. Seluruh krew pun berusaha keras.
Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk ke Malaysia. Tapi saya pasti jika saya berpeluang untuk ke sana, saya akan pergi ke sana dan menikmatinya. Ya, sudah tentu saya ingin pergi ke Malaysia kerana saya tak mempunyai banyak peluang untuk ke sana dengan kerap. Jadi saya harap saya akan ada peluang untuk ke sana. Jadi terima kasih banyak-banyak.
Dah tahu kan apa yang terjadi di sebalik Siri Royal Doctor ni, jadi jangan lupa saksikannya di SINI tau.