Siakap Keli
Sanusi pulau pinang
Gambar: Sinar Harian

Sanusi Dakwa Pulau Pinang Milik Kedah

Sanusi Dakwa Pulau Pinang Milik Kedah

ALOR SETAR — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa bahawa Pulau Pinang adalah hak milik negeri tersebut, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, negeri Jelapang Padi itu hanya mempunyai sempadan dengan negeri Perak dan Perlis.

“Saya tunggu dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kalau ada asas ditentu sahkan sempadan Kedah dengan negeri-negeri lain, yang saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya.

“Jadi tak dak la sempadan Kedah-Pulau Pinang itu, sempadan negeri kita dok sebelah pulau sana (Balik Pulau), dengan Perak mungkin ada. (sempadan Kedah-Pulau Pinang) nak ukur kat mana, nak pakai warta nombor berapa,” ujarnya dalam satu sidang akhbar semalam.

Beliau berkata mengenai perkara tersebut selepas menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis di Wisma Darul Aman.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Muhammad Sanusi dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Pulau Pinang Kedah Sanusi
Gambar: Sinar Harian

Ia disaksikan oleh Ketua Pengarah JUPEM, Mohammad Zaki Mohd Ghazali dan Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Muhammad Yasir Yahya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Zepri Saad turut hadir dalam majlis berkenaan.

BACA JUGA: Pendapatan Kedah Tidak Terjejas Dengan Penutupan Premis Perjudian – Sanusi

Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah. Oleh kerana itu, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri tersebut.

“Bukan nak ambil balik, bukan terlepas apa pun, memang hak kita,” katanya lagi.

Perjanjian Persempadanan Darat dan Maritim

Dalam perjanjian persempadanan darat dan maritim antara Kedah dan Perlis, keluasan bagi darat adalah melibatkan 44.3 kilometer (km). Manakala bagi maritim (laut) pula adalah 5.6km bersamaan tiga batu nautika.

Jelasnya lagi, terciptanya sejarah baharu selepas kedua-dua negeri tersebut memeterai perjanjian itu.

Ia dapat memuktamadkan garis sempadan darat dan laut secara serentak serta sektor yang pertama di Malaysia.

Gambar: Sinar Harian

“Menjadi satu lembaran baharu kepada Malaysia serta Kedah dan Perlis dalam menjalinkan kerjasama yang lebih produktif pada masa akan datang.

“Perjanjian persempadanan ini dapat merancakkan lagi kerjasama sedia ada seperti ekonomi dan penguatkuasaan antara kedua-dua negeri.  Selain menjana bidang kerjasama baharu berimpak tinggi yang akan memanfaatkan rakyat di kedua-dua negeri,” kata Muhammad Sanusi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri berkata melalui perjanjian tersebut, beberapa isu yang dihadapi kerajaan negeri dapat diselesaikan.

“Saya rasa bersyukur kerana banyak masalah di sempadan Perlis dan Kedah dapat diselesaikan. Khususnya isu tanah yang menjadi perkara sensitif oleh rakyat, isu tanah perkuburan di Kobah dan isu Sempadan di Kuala Sanglang,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?