Siakap Keli
united bayar maguire pindah
Gambar: AFP

United Dilapor ‘Sanggup’ Bayar Maguire RM57 Juta Jika Sudi Pindah Keluar

United Dilapor ‘Sanggup’ Bayar Maguire RM57 Juta Jika Sudi Pindah Keluar

Portal sukan terkenal, FourFourTwo melaporkan bahawa Manchester United sedia membayar ‘sagu hati’ kepada Harry Maguire sekiranya beliau sedia berpindah keluar dari kelab.

Menurut portal berkenaan, situasi Maguire yang kini bukan lagi pertahanan tengah pilihan utama Erik ten Hag mungkin mendorong beliau mencari kelab baharu.

Untuk musim ini, Maguire hanya memulakan perlawanan sebanyak 16 kali daripada 61 perlawanan termasuk lapan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

United sedia bayar Maguire jika sudi pindah keluar

Walaupun bergelar pemain pertahanan termahal di dunia, Ten Hag dilihat lebih selesa untuk menurunkan Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Victor Lindelof sebagai pilihan di depan Maguire. Malah, pemain bek, Luke Shaw juga dilihat berada di depan untuk mengisi posisi itu berbanding Maguire sendiri.

Bagaimanapun, Maguire yang menikmati gaji sebesar RM 1.09 juta seminggu dengan baki kontrak dua tahun, mungkin menyebabkan beliau berdepan kesukaran mencari kelab baharu.

Dalam laporan Daily Mail, kelab-kelab yang berkemampuan mungkin hanya bersedia membayar separuh daripada amaun tersebut. Sekiranya Maguire berpindah, maka United perlu membayar kira-kira RM 57 juta, iaitu kerugian yang ditanggungnya akibat gaji dipotong.

Namun begitu, Daily Mail berkata, United mungkin bersedia untuk membayar pampasan berkenaan sekiranya Maguire sudi berpindah.

Sekiranya perpindahan itu berlaku, United dapat mengurangkan ruang dan bajet sekaligus memudahkan mereka membawa masuk pemain baharu.

Ketika ini, harga pasaran Maguire dilaporkan bernilai sekitar RM 172 juta. Beliau berpindah daripada Leicester City pada 2019 dengan yuran perpindahan sebanyak RM 460 juta. Menerusi perjanjian itu, beliau menandatangani kontrak panjang selama enam tahun dengan United.

Dalam laporan ESPN pula, Maguire dilapor akan memulakan perbincangan mengenai masa depannya bersama Ten Hag apabila tamat musim ini. United mempunyai baki satu perlawanan iaitu perlawanan akhir Piala FA bertemu City pada Sabtu ini.

Ten Hag sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa Maguire adalah pemain penting dalam kelab dan ingin melihat beliau kekal lebih lama. Begitupun, Maguire mungkin bersedia untuk berpindah demi mencari minit perlawanan dan bermain secara tetap.

Maguire yang kekurangan minit perlawanan dalam pada itu tetap dipanggil untuk mewakili England dalam perlawanan kelayakan Piala Eropah 2024.

Namun begitu, Gareth Southgate dilapor telah memberi amaran kepada Maguire bahawa beliau berpotensi kehilangan tempat sekiranya terus terpinggir di United.

BACA: Tak Sangka, Ini Yang Jadi Jika Enjin Kenderaan Dimatikan Ketika Kereta Bergerak

Sumber: Four Four Two

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.