Siakap Keli
numb linkin park 2 bilion youtube
SUMBER: LINKIN PARK

Selepas 20 Tahun, Video Lagu ‘Numb’ Linkin Park Lepasi Angka 2 Bilion Tontonan Youtube

Selepas 20 Tahun, Video Lagu ‘Numb’ Linkin Park Lepasi Angka 2 Bilion Tontonan Youtube

Video musik lagu Numb nyanyian kumpulan Linkin Park mencatat sejarah apabila berjaya melepasi angka 2 bilion tontonan Youtube selepas 20 tahun dilancarkan.

Lagi berkenaan yang dikeluarkan pada 2003 merupakan lagu pertama milik Linkin Park yang berjaya mencapai angka bersejarah itu.

Menurut Billboard, lagu berkenaan mencetuskan fenomena luar biasa ketika pertama kali ke udara. Malah, Numb masih didendangkan oleh generasi zaman itu hingga ke hari ini.

Numb merupakan single ketiga Linkin Park daripada album kedua berjudul Meteora. Single itu berjaya merajai carta lagu alternatif Billboard pada 2003 sambil diapit lagu-lagu lain daripada album yang sama. Antara lagu-lagu hits yang lain termasuklah lagu Breaking The Habit, Faint, Somewhere I Belong dan Lying From You.

Video lagu Numb nyanyian Linkin Park lepasi angka 2 bilion tontonan di Youtube

Video musik lagu itu mencapai angka 1 bilion tontonan pada 2018, setahun selepas peminat melancarkan kempen tidak langsung berikutan kematian vokalisnya, Chester Bennington. Kempen berkenaan bagi membantu melonjakkan tontonan video itu kepada satu bilion tontonan.

Album Meteora kemudian diterbitkan sekali lagi sempena ulang tahun ke-20 album tersebut pada April tahun ini. Edisi berkenaan menampilkan beberapa lagu yang belum pernah dikeluarkan, demo, live, B-Side dan rakaman kumpulan yang tidak pernah disiarkan.

Dalam pada itu, berita gembira berkenaan turut dikongsikan melalui Facebook rasmi Linkin Park sendiri.

”Terima kasih kerana membantu Numb mencapai dua bilion tontonan di Youtube,” kata hantaran tersebut. Setakat ini, hantaran berkenaan meraih lebih 41 ribu tanda suka dan mendapat pelbagai komen positif.

Rata-rata berkongsi memori masing-masing yang membesar dengan mendengar lagu-lagu Linkin Park termasuk lagu Numb.

Linkin Park merupakan sebuah kumpulan yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat dan ditubuhkan pada 1996. Selain mendiang vokalisnya, nama ahli lain kumpulan ini yang sering menjadi bualan peminat adalah Mike Shinoda.

Nama Linkin Park mula menempa kemasyhuran menerusi debut album studio mereka, Hybrid Theory pada 2000. Dilancarkan ketika kemuncak scene nu metal, beberapa lagu daripada album ini antaranya One Step Closer, Crawling dan In The End berjaya menjadi lagu nombor 1 di beberapa carta utama musik seluruh dunia.

BACA: Ini Cara Nak Elak RM200 Kena ‘Tahan’ Dengan Bank Bila Pakai Kad Debit Isi Minyak

Sumber: Billboard

Mohd Raimi Ismail

peace on earth