Siakap Keli
tukang paip singapura
Gambar: AFP

Tukang Paip Berlesen Di Singapura Didakwa Mampu Nikmati Gaji Cecah RM40,000 Sebulan

Tukang Paip Berlesen Di Singapura Didakwa Mampu Nikmati Gaji Cecah RM40,000 Sebulan

Tukang paip berlesen di Singapura dilapor mampu menikmati gaji antara S$6,000 – 8,000 (RM 20,482 – 27,309) sebulan, dakwa ahli Persatuan Tukang Paip Singapura.

Menurut Mothership.sg, ahli persatuan tersebut, Gary Tan, 40, berkala malah ada dalam kalangan ahli persatuan berkenaan menikmati gaji bulanan mencecah S$ 12,000 (RM 40,964) sebulan.

Tambahnya, mana-mana tukang paip berlesen boleh mengenakan caj perkhidmatan dan menikmati pendapatan dua kali ganda lebih tinggi berbanding tukang paip tidak berlesen.

Malah, mereka juga tidak perlu melakukan banyak ‘kerja kotor’, sebaliknya lebih banyak bertindak sebagai penyelia atau pemeriksa dan berpeluang untuk naik pangkat.

Tan sendiri bermula sebagai tukang paip biasa di sebuah syarikat dan ditugaskan sebagai ‘Jurutera Projek’ pada peringkat awal.

Dia kemudian dihantar berkursus untuk mendapatkan lesen dan kini telah dinaikkan pangkat menjadi ‘Pengurus Projek’ di syarikatnya.

Walaupun tukang paip berlesen menawarkan gaji yang lumayan, Tan berkata Singapura ketika ini berdepan dengan kekurangan tenaga buruh untuk mengisi jawatan tersebut.

Ketika ini, industri berkenaan sangat bergantung kepada pekerja asing. Namun pada masa yang sama, syarikat tidak boleh menggaji terlalu ramai pekerja asing kerana perlu membayar cukai yang mahal.

Dalam pada itu, Tan juga berkata faktor masa dan kos yang mahal menyebabkan ramai tukang paip tidak berminat untuk mendapatkan lesen.

Untuk mendapatkan lesen, mereka perlu menjalani latihan selama enam hingga sembilan bulan, dengan kos sekitar S$ 1,000 (RM 3,413) selepas subsidi. Manakala untuk pekerja asing, kos tersebut boleh meningkat sehingga S$ 4,000 (RM 13,654). Kos berkenaan dianggap terlalu mahal jika sesebuah syarikat mahu menggajikan ramai pekerja asing.

Menurut Tan, dua faktor berkenaan menyumbang kepada ramai tukang paip warga asing di Singapura tidak mempunyai lesen.

Mothership.sg turut mendapatkan reaksi daripada presiden persatuan tersebut, Dickrose Masalamani berhubung perkara berkenaan.

”Untuk menjadi tukang paip berlesen, tukang paip tempatan mesti memiliki sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman bekerja. Mereka seterusnya perlu melengkapkan kursus sembilan bulan yang ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan (BCA).

”Selain itu, mereka juga perlu menyertai kursus sembilan hari yang diselia oleh persatuan kami,” katanya.

Antara penilaian yang ada dalam kursus ini termasuklah ujian bertulis dan temubual lisan. Ia dianggap terlalu mencabar dan ramai tukang paip tempatan gagal dalam kedua-dua penilaian tersebut.

Setakat ini, terdapat lebih 1,070 tukang paip berlesen di Singapura. 1,010 daripadanya adalah warga tempatan dan penduduk tetap, manakala selebihnya adalah warga asing.

”Kami tidak tahu berapa jumlah tukang paip tidak berlesen memandangkan mereka tidak berdaftar,” kata Masalamani.

BACA: Dianggap Legenda Badminton, Ini Rekod Chong Wei, Lin Dan & Taufik Hidayat Menurut BWF

Sumber: Mothership

Mohd Raimi Ismail

peace on earth