Jutawan Finland Didenda RM598,520 Kerana Memandu Lebih Had Laju
Seorang jutawan Finland telah dikenakan denda berjumlah $130,000 (RM598,520) akibat memandu melebihi had laju yang ditetapkan di jalan raya.
Jumlah berkenaan menjadi bayaran denda dipercayai tertinggi di dunia bagi kesalahan memandu melebihi had laju di sesebuah negara.
Menurut WION News, jutawan berkenaan, Anders Wilklof, 76, didapati memandu pada kelajuan 82 kilometer perjam (kmj), di laluan dengan had laju yang ditetapkan adalah 50 kmj.
Kesalahan trafik tersebut berlaku di sebuah jalan yang terletak di Kepulauan Aland, iaitu kawasan autonomi di Lautan Baltik dan merupakan sebahagian daripada Finland.
Difahamkan, kesalahan berkenaan berlaku pada Sabtu lepas. Selain denda berkenaan, lesen memandu beliau juga turut digantung selama 10 hari.
“Saya sangat menyesali atas apa yang berlaku.
“Saya baru sahaja ingin memperlahankan kenderaan, tetapi saya tidak dapat melakukannya secepat mungkin. Beginilah perkara ini terjadi,” kata Wilkof.
Ahli perniagaan tersebut merupakan seorang pengerusi dan pengasas bagi sebuah syarikat yang bernilai $10 juta (RM46.04 juta).
Beliau mendakwa bahawa had laju pada jalan yang dilaluinya ‘tiba-tiba’ bertukar dari 70 kmj kepada 50 kmj ketika dirinya sedang memandu pada kelajuan 82 kmj.
“Saya ketika itu sedang memperlahankan kenderaan, kerana sudah tentu tidak boleh saya menekan brek secara mengejut. Ketika itulah saya nampak cahaya biru (lampu siren polis) menghampiri kereta saya,” katanya.
Semakin tinggi nilai pendapatan, semakin tinggi nilai denda bagi kesalahan trafik akan dikenakan
Untuk makluman, denda bagi kesalahan trafik di Finland dikenakan berdasarkan nilai pendapatan pesalah. Secara umumnya, bayaran denda yang dikenakan kepada pesalah trafik ditetapkan pada kadar separuh daripada pendapatan harian.
Ringkasnya, semakin tinggi pendapatan sehari seseorang itu, maka semakin tinggilah denda kesalahan trafik, sekiranya dilakukan, perlu dibayar.
Selain daripada hasil pendapatan, jumlah bayaran denda turut bergantung pada tahap keseriusan kesalahan berkenaan.
Pihak polis boleh memeriksa jumlah pendapatan tertuduh dengan mengakses pengkalan data pembayar cukai pusat dengan menggunakan telefon pintar mereka sahaja.
Dalam kes ini, jutawan ini diwajibkan untuk membayar saman yang berjumlah hasil pendapatannya selama 14 hari.
Sistem bayaran denda di Finland ini difahamkan merangkumi pelbagai kesalahan lain seperti mencuri, melanggar undang-undang perdagangan dan sebagainya.
Tindakan yang berpegangkan prinsip ‘ semakin banyak hasil pendapatan, semakin tinggi bayaran dikenakan’ ini berhasil apabila bidang percukaian merupakan satu perkara yang progresif dalam negara berkenaan.
Pernah ditangkap kerana memandu melebihi had laju
Ini bukanlah kali pertama Wiklof didenda kerana memandu melebihi had laju. Pada 2013, beliau telah didenda sebanyak £80,000 (RM457,834).
Beliau dikenakan denda tersebut selepas ditahan memandu pada kelajuan 75.64 kmj pada kawasan had laju 48.28 kmj di pulau yang sama.
Pada 2018 pula, beliau telah didenda dengan £54,900 (RM314,188.86).
BACA: Misteri Bau Wang Harum Semerbak Tengah Malam Buat Orang Ramai Seram, Rupanya…
Sumber: Wion News