Siakap Keli
Malaria monyet beradaptasi
Kredit BERNAMA

Tiada Bukti Penyakit Malaria Monyet Mampu Beradaptasi Dan Merebak Pada Manusia – Kajian

Tiada Bukti Penyakit Malaria Monyet Mampu Beradaptasi Dan Merebak Pada Manusia – Kajian

Tiada bukti terbaru yang menunjukkan penyakit malaria monyet mampu beradaptasi dan merebak kepada manusia, tulis satu kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications.

Walau bagaimanapun, kajian terbaru itu menunjukkan peningkatan kes malaria monyet atau Plasmodium knowlesi di Malaysia berkemungkinan disebabkan tersebar melalui nyamuk.

Ringkasan kitaran jangkitan ini dipercayai berlaku melalui kera yang mempunyai penyakit tersebut lalu dibawa oleh nyamuk.

Kitaran itu seterusnya dibawa oleh nyamuk kepada manusia melalui proses menghisap darah yang dilakukan serangga tersebut.

Kajian itu telah dijalankan oleh penyelidik di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kementerian Kesihatan Malaysia dan beberapa agensi penyelidikan yang lain.

Ia termasuk London School of Hyiene and Tropical Medicine, National University of Singapore dan Imperial College London.

Pasukan penyelidik ini telah menjalankan analisis matematik bagi kes malaria yang dilaporkan berlaku di Malaysia dari 2012 hingga 2020.

P. knowlesi biasanya dibawa oleh kera dan merebak kepada manusia selepas nyamuk menggigit kera yang dijangkiti.

Bagaimanapun, peningkatan besar dalam kes P. knowlesi terhadap manusia di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan.

Penyelidik bimbang parasit ini mampu beradaptasi dan merebak kepada manusia.

Analisis kajian ini menunjukkan corak spatial dan temporal kes P. knowlesi yang masih konsisten dengan penyebaran daripada kera. Tiada bukti penularan berterusan dari manusia-nyamuk-manusia oleh pasukan penyelidik.

Prof Kamaruddin Ahmed dari UMS dan pengarang bersama kajian berkata: “Malaysia melalui sistem pengawasan komprehensifnya, melaporkan bilangan kes P. knowlesi tertinggi di seluruh dunia. Dengan Sabah dilaporkan mencatatkan jumlah kes tertinggi di Malaysia”.

Menurut kajian itu lagi, walaupun jenis penyakit malaria manusia yang lain di Malaysia telah dihapuskan, namun masih terdapat ribuan kes P. knowlesi dilaporkan setiap tahun di Sabah.

Bukti terdahulu penyelidik mendapati risiko peningkatan P. knowlesi berkaitan dengan penebangan hutan.

Terdapat laporan yang menunjukkan mereka yang bekerja di kem pembalakan atau ladang di pinggir hutan antara yang berisiko untuk dijangkiti.

Seorang lagi penyelidik Dr, Kimberly Fornace dari London School of Hygiene and Tropical Medicine berkata, terdapat cabaran besar dalam kawalan penyakit ini.

“Ini menimbulkan cabaran besar bagi kawalan malaria di rantau ini. Banyak langkah kawalan malaria yang sedia ada, seperti tidur di bawah kelambu dan lakukan ujian malaria dengan kerap.

“Namun langkah itu dilihat tidak berkesan apabila ia melibatkan hidupan liar sebagai perumah jangkitan,” Kata Dr. Kimberly.

Dalam pada itu, kes jangkitan P. knowlesi ke atas manusia ini telah dikenal pasti di seluruh Asia Tenggara dan sebahagian Asia Selatan.

Walaupun kajian telah menunjukkan tiada bukti P. knowlesi mampu merebak antara manusia, namun ia mungkin sesuatu yang boleh berubah pada masa hadapan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Profesor Dr Mohammad Saffree Jeffree menggesa komuniti saintifik untuk menyokong kajian ini.

Seterusnya menjalankan penyelidikan yang rapi berkaitan malaria dalam usaha ke arah penghapusan malaria di negara Malaysia khususnya.

Sumber: Universiti Malaysia Sabah

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.