Nombor Plat “FF 1” Milik DYMM Sultan Johor
JOHOR BAHRU — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini mengumumkan nombor pendaftaran “FF 1” menjadi milik DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
Nombor plat FF 1 Milik Sultan Johor
Tambah Loke menerusi akaun Facebook rasminya, nombor khas berkenaan telah dipersembahkan secara simbolik kepada Tuanku Sultan Ibrahim hari ini.
“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut.
“Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan.
“Bayaran ini menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat ke RM35.4 juta,” maklumnya.
Nombor Plat MALAYSIA 1 Bernilai RM1.1 Juta
Terdahulu, Anthony Loke turut mengumumkan bahawa nombor pendaftaran kenderaan MALAYSIA 1 mendapat bidaan tertinggi dengan nilai RM1.1 juta, lapor Bernama.
Nombor berkenaan merupakan milik Aldi International Sdn Bhd yang berjaya menduduki tempat pertama dalam bidaan.
BACA JUGA: Pecah Rekod, Nombor Plat ‘P7’ Dibida RM 66 Juta, Termahal Dunia
Tambahnya, bidaan tersebut melibatkan nombor pendaftaran MALAYSIA 1 hingga MALAYSIA 999.
Tarikh bidaan telah berlangsung sejak 15 Ogos 2018 dana telah berjaya mengumpul dana kerajaan sebanyak RM 13.6 juta. Kesemua duit bidaan terkumpul akan disimpan sebagai dana kerajaan sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, dalam sidang media berkenaan hanya 10 pemilik nombor pendaftaran kenderaan yang mendapat bidaan tertinggi sahaja diumumkan.
Berikut adalah 10 nombor pendaftaran yang menerima bidaan paling tinggi untuk plat khas MALAYSIA.
MALAYSIA 1 (RM1.1 juta), MALAYSIA 8 (RM618,000), MALAYSIA 99 (RM501,500), MALAYSIA 2 (RM422,000), MALAYSIA 3 (RM223,000), MALAYSIA 5 (RM200,000), MALAYSIA 4 (RM162,000), MALAYSIA 9 (RM141,999), MALAYSIA 7 (RM123,000) dan MALAYSIA 18 (RM120,000).
Nombor Pendaftaran “MALAYSIA 8055”
Sementara itu, menteri pengangkutan itu turut memaklumkan nombor pendaftaran MALAYSIA 8055 mendapat bidaan paling ramai.
Ia menjadi rebutan ekoran membawa maksud “Malaysia Boss”.
Loke juga membuat bidaan ketika hari pelancaran pada 1 Ogos 2018 terhadap nombor plat MALAYSIA 509 dengan jumlah bidaan sebanyak RM1,509.
Namun, bidaan tersebut hanya meletakkan dirinya di tangga ke-11 bidaan tertinggi.
Bagi nombor pendaftaran MALAYSIA 2020, nombor berkenaan tidak dibuka kerana kerajaan bercadang meletakkan nombor itu pada kenderaan rasmi Perdana Menteri.
Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook