Terkejut Besar Pengantin Wanita, Dapat Hantaran ‘Kertas Berharga’ Dari Suami
Kebiasaanya, harta benda seperti emas, barangan mewah dan peranti elektronik manjadi antara barangan yang diletakkan di atas dulang hantaran.
Berbeza pula dengan pasangan ini, pengantin lelaki mengambil keputusan untuk membuat kelainan ketika menyediakan hantaran untuk isterinya.
Pengantin lelaki tersebut, Faiz nyata mempunyai cara tersendiri untuk membahagiakan bakal suri hatinya apabila memberikan sekeping ‘kertas berharga’.
Difahamkan, ‘kertas berharga’ itu bukanlah geran tanah tetapi kertas Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Skim tersebut difahamkan telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2022, selepas Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diperkenalkan.
‘Kertas berharga’ bukan geran tetapi
Menurut laman web PERKESO, skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Muhammad Faiz Md Hashim telah membuat caruman skim tersebut buat isterinya agar kebajikannya terjaga.
Menariknya, lelaki tersebut sebenarnya memilih hadiah ini kerana tiga sebab utama iaitu, agama, sayang dan masa depan.
Baginya, agama menjadi sandaran utama kerana Islam menganjurkan keperluan menjaga maqasid syariah dan satu daripada adalah melindungi nyawa.
Seminggu sebelum perkahwinan, Faiz telah menzahirkan hasrat pilihan hantarannya kepada Nad atau nama penuhnya, Nur Nadiah Mohamad Ridzuan.
Pada awalnya, Nad seakan keliru atas apa yang berlaku, yang membuatkan Nadiah sedikit tertanya-tanya. Apatah lagi itu kali pertama dia mendengar berkenaan skim tersebut.
Namun, Faiz segera menjernihkan suasana dengan menerangkan mengenai skim tersebut kepada bakal isterinya.
“Faiz sedar duit bukan segalanya dan menjadi pengukur utama cinta kepada Nad, tetapi andai ada musibah menimpa, duit bakal menjadi ujian tegar buat kami,” katanya.
Menurut rakan Nad yang bernama Alia, kisah hantaran luar biasa ini telah memberikan pengajaran yang begitu berharga buat dirinya.
“Buat insan di luar sana yang meniti hari ke jinjang perkahwinan, sayangilah pasangan anda sebaiknya.
“Zahirkan dan hargailah mereka selagi ada kerana teman sehidup semati bukan sekadar ungkapan, tetapi tali yang mengikat jiwa hingga ke negeri abadi.”
Wanita itu turut merasa lega apabila rakan karibnya, Nad kini berada dalam pangkuan lelaki yang tepat.
“Nad, selamat pengantin baharu. I know you are in a safe hands now.”
BACA: Musthafa Kamal Yang Hilang Ketika Umrah Disahkan Meninggal Dunia Di Makkah