1,000 Pelumba Basikal Sertai Selangor International Race 2023
SHAH ALAM, 12 Jun 2023 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melakar sejarahnya tersendiri kerana bakal menghimpunkan 1,000 atlet lumba basikal tempatan dan seluruh dunia menerusi penganjuran julung kali perlumbaan basikal antarbangsa, Selangor International Race 2023 (SIR 2023) pada 25 Jun 2023 ini.
Acara yang bertujuan untuk mempromosikan pelancongan sukan negeri ini, bakal menghimpunkan seluruh komuniti peminat sukan berbasikal dalam dan luar negara untuk merasai pengalaman melihat keindahan landskap dan kepelbagaian warisan budaya negeri Selangor sepanjang laluan perlumbaan, sejajar dengan aspirasi PKNS ‘Membina Kehidupan Yang Lebih Baik’ dan menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif di kalangan orang ramai.
Perlumbaan berbasikal ini akan membawa peserta melalui laluan sejauh 145 kilometer (km) yang melewati bandar-bandar di sekitar Selangor. Bermula di Bangunan Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam, laluan merangkumi permukaan muka bumi beralun dengan kawasan lapang yang rata sepanjang 30km dan terdedah kepada keadaan berangin. Peserta akan melewati beberapa mercu tanda terkenal di Selangor sepanjang perlumbaan seperti pekan Batu Arang yang terkenal dengan perlombongan arang batu suatu ketika dahulu, Selangor Fruit Valley dan Kampung Kuantan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan yang tidak asing lagi dengan aktiviti melihat kelip-kelip selain perbandaran Kota Puteri.
Ditemui semasa sidang media di Majlis Pra Pelancaran Selangor International Race 2023, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mahmud Abbas melahirkan rasa teruja beliau menantikan acara tersebut dengan berkata, “Sebagai seorang peminat sukan berbasikal, sukacita saya ingin mengumumkan dalam masa dua minggu sahaja lagi, PKNS bakal menjadi tuan rumah menganjurkan buat julung kalinya perlumbaan basikal antarabangsa, Selangor International Race 2023 pada 25 Jun 2023. Ia mencatatkan satu peristiwa penting bagi semua peminat sukan berbasikal untuk berkongsi pengalaman berlumba sambil melihat keindahan landskap Selangor sepanjang laluan perlumbaan.”
“Melihat kepada sambutan hangat kepada acara ini, bagi saya ia bukan sahaja berkenaan mempromosikan pelancongan sukan dan membantu pertumbuhan faedah ekonomi kepada negeri, tetapi secara peribadi saya yakin Selangor International Race 2023 mampu membawa kejayaan besar dan menjadi batu loncatan kepada acara berbasikal di negeri Selangor pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Acara ini bukan sahaja melahirkan rasa persaingan tetapi juga mempamerkan Selangor sebagai hab sukan negara yang mampu meningkatkan lagi reputasi negeri sebagai destinasi utama sukan dan pelancongan. Justeru itu, PKNS menjemput semua peminat sukan berbasikal, atlet, penaja dan penyokong untuk bersama-sama berkongsi pengalaman berlumba dan menjadikan Selangor International Race 2023 sebagai catatan sejarah peribadi masing-masing.
Bagi menunjukkan komitmen peribadinya kepada perlumbaan berbasikal ini, Dato’ Mahmud turut mengambil bahagian di dalam acara VIP sejauh 20km selesai acara pelepasan peserta. Ini memberi peluang kepada beliau untuk bergaul mesra dengan para peserta serta merasai pengalaman berlumba secara langsung dan berkongsi keseronokan dengan sebahagian pelumba.
Atas sokongan dan sambutan luar biasa bagi acara ini, pendaftaran penyertaan acara ini telahpun ditutup setelah berjaya mencapai sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta. PKNS melahirkan rasa terharu dan penghargaan kepada semua peserta serta mengalu-alukan kehadiran peserta antarabangsa yang bakal berhimpun di negeri Selangor sempena perlumbaan bersejarah ini.
Selangor International Race 2023 mendapat tajaan daripada Decathlon, Hutan Ration, N8 Nutrition, BS Fitness, Inter Great Group of Companies, Minconsult, Central Spectrum, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, SACC, dan Koperasi PKNS Berhad.
Bagi merasai bahang kehangatan acara ini, para peminat sukan ini boleh mengunjungi Bangunan Ibu Pejabat PKNS untuk menyertai klinik berbasikal, bengkel dan gerai pameran pada Sabtu, 24 Jun 2023 dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Manakala, peserta boleh mengambil kit perlumbaan di Blok B, Bangunan Ibu Pejabat PKNS dari jam 10 pagi hingga 6 petang hari yang sama.
Untuk maklumat lanjut tentang acara, boleh layari http://selangorrace.com.