Kacak Sanggup Jadi Pemain Tanpa Gaji Jika DSV Ambil Alih Kelantan FC
Rela jadi pemain tanpa gaji, anak lelaki usahawan kosmetik Dato’ Seri Vida, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin menyatakan hasrat mahu bermain untuk Kelantan FC demi meletakkan semula pasukan itu di tangga teratas.
Muhammad Eric Zecquan atau panggilan mesranya Kacak berkata dia lebih selesa memilih menjadi pemain berbanding presiden yang mengendalikan pasukan itu.
“Pada pendapat saya ketika ini, saya rasa kalau jadi pemain tanpa gaji pun tidak mengapa.
“Kenapa saya nak jadi pemain sebab saya rasa sedih melihat Kelantan FC pada ketika ini, kerana dahulu pasukan itu digeruni ramai.
“Tetapi kalau kita tengok Kelantan FC, kita sudah tahu ‘free point’ untuk menang.
“Tidak mengapa, mungkin bila mama (Vida) sudah mengambil semula pasukan itu, ia boleh maju ke hadapan dan lead pasukan seperti dulu,” jelasnya dalam satu temu bual bersama Nadi Weekend.
Kacak berkata demikian selepas ditanya mengenai keinginannya sekiranya Vida mengambil alih pasukan The Red Warrior.
BACA: Bangunan Lebih RM350 Juta Akan Dijadikan Kampus Ketiga UiTM Kelantan
Mahu Miliki Kelantan Sekiranya Diberi Peluang

Dalam masa yang sama, Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman turut menyatakan impiannya untuk mengambil alih semula Kelantan FC dan mahu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu.
“Kepada peminat Kelantan FC, saya mengharapkan pengurusan sekarang boleh membantu membawa pasukan itu ke tahap yang lebih tinggi.
“Kalau pengurusan boleh lakukan, teruskan. Kalau tidak, serahkan kepada saya. Sekiranya saya yang meminta, keadaan akan menjadi berbeza.
“Sekiranya pengurusan sekarang boleh memacu kelab itu sila teruskan, jika tidak saya akan ambil untuk membawa pasukan itu ke tahap teratas,” ujarnya.
Tiada lagi jersi pink
Jelasnya, jika diberi peluang beliau tidak akan menggunakan taktik pemasaran seperti dahulu yang meletakkan produk sebagai nombor satu.
“Di bawah pengurusan baru, saya tidak akan datang seperti dahulu di mana pemasaran nombor satu, bola itu nombor dua.
“Sekarang, kemajuan dan kejayaan bola itu saya letakkan nombor satu. Pemasaran saya ini saya rasa stabil dan jadi.
“Tetapi untuk bola saya nak asingkan supaya orang tidak kata saya gunakan pasukan itu untuk pemasaran produk,” katanya.
Mengulas lanjut Vida berkata pengurusan baru pada kali ini tidak lagi memfokuskan kepada jersi, sebaliknya kedudukan liga menjadi tumpuan utama.
“Tetapi jersi pink ke apa tidak perlu sekarang, yang penting pasukan Kelantan itu di tangga teratas untuk liga tahun ini atau tahun depan,” ujarnya.
Saksikan video penuh di bawah ini.
Sumber: Nadi Weekend/Youtube