Penuntut UTHM Maut Dalam Kemalangan Di Yong Peng
Seorang siswa lelaki Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) maut selepas terlibat dalam kemalangan bersama tiga kenderaan di Kilometer (KM) 125.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Yong Peng, pada Rabu, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata kereta yang dipandu oleh rakan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) itu telah melanggar lori treler sehingga ia terbabas dan dilanggar kereta yang berada di belakangnya.
Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipandu oleh rakan mangsa, sebuah lori treler jenis Scania dan sebuah kereta Proton Waja.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 7 malam Rabu, semasa kereta jenis Perodua Bezza dinaiki dua penuntut lelaki UTHM (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia), Pagoh yang masing-masing berumur 20 tahun dan 21 tahun telah melanggar bahagian belakang lori treler jenis Scania yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 28 tahun.
“Perlanggaran itu menyebabkan, kereta Perodua Bezza itu terbabas di penghadang tengah jalan sebelum sebuah kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 65 tahun yang datang dari arah yang sama (arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur), tidak sempat brek (menghentikan kenderaan) lalu turut terlanggar kereta Perodua Bezza tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Kalau Sewa Kereta Tapi Terlibat Kemalangan, Nak Buat Apa?
Kejadian itu membuatkan mangsa yang merupakan penumpang dipercayai maut dan pemandu lori telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Akibatnya, penumpang hadapan kereta Perodua Bezza maut di tempat kejadian manakala pemandu lori treler mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Muar untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melibatkan kematian oleh pegawai penyiasat trafik Inspektor Tong Siew Fen.
Dalam pada itu, Ismail Dollah turut meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil memberikan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 07-4327704, bagi membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian
BACA: Penunggang Motosikal Cedera Terlibat Kemalangan Gara-Gara Babi