Siakap Keli
Plastik Keropok Angin
Gambar: AFP

Ini Alasan Kenapa Plastik Keropok Penuh Dengan ‘Angin’, Isinya Sedikit

Ini Alasan Kenapa Plastik Keropok Penuh Dengan ‘Angin’, Isinya Sedikit

Anda tentu masih ingat lagi kenangan waktu kecil, jika diajak ayah ke kedai runcit, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk memujuk ayah anda supaya membeli makanan ringan.

Kalau tak gula-gula, sebungkus dua keropok pun jadi la. Pelbagai aneka keropok yang dijual, kalau boleh setiap satu anda ingin rasa.

Itu dulu, ketika anda masih kanak-kanak, tetapi ada juga penggemar makanan ringan macam keropok ini masih lagi terbawa-bawa perangai tersebut sehingga dewasa.

Makan keropok ketika menonton televisyen sememangnya sesuatu yang mengasyikkan. Kadang-kadang, kita sendiri pun tak sedar berapa bungkus dah yang kita habiskan sambil menonton drama kesukaan kita itu.

Tapi, tak kira jika anda seorang kanak-kanak atupun sudah dewasa, anda sudah tentu berkongsi masalah yang sama apabila melibatkan keropok.

Masalahnya adalah, ‘angin’ lebih banyak daripada isi. Tengok dari luar plastik keropok tu, punya la besar saiznya, ingatkan banyakla isi didalam, rupa-rupanya separuh diisi dengan angin sahaja.

Malah, ada jenama tertentu misalnya keropok cip kentang, boleh dibilang ada berapa keping je dalam tu. Kecewa tu tak payah cakap la.

Namun, pernah terfikir tak kenapa pihak pengeluar ambil keputusan nak isi ‘angin’ dalam plastik keropok anda, berbanding lebihkan isi?

Sebab pengeluar ini kejarkan untung semata-mata ke? Sebenarnya ada beberapa sebab kenapa plastik keropok anda direka sedemikian rupa.

Sebagai Perlindungan

Di dalam industri perkilangan, penggunaan ‘angin’ atau “slack fill” ini adalah disengajakan di dalam produk mereka. Keropok diisi angin atau slack fill ini bertujuan untuk mewujudkan perlindungan kepada kandungan keropok itu sendiri.

Anda tentu tidak pernah terfikir apa yang perlu dilalui oleh keropok daripada kilang sehinggalah berada di atas meja anda kan.

Keropok-keropok ini dipunggah keluar daripada kilang, dimasukkan ke dalam lori sebelum diangkut dan diletakkan di kedai-kedai runcit. Jika plastik keropok anda tidak diisi ‘angin’, sudah pasti keropok anda akan hancur dan menjadi seperti tepung.

Kalau dah hancur, sudah tentu pihak pengeluar tidak dapat membuat keuntungan kerana ia dikira sebagai produk yang sudah rosak. Satu lagi, anda sebagai pembeli sudah tentu tidak mahu keropok atau cip keropok anda sudah menjadi tepung kan?

Angin? Bukanlah

Ya, apa yang diisi di dalam plastik keropok anda bukanlah sebarangan ‘angin’. ‘Angin’ tersebut sebenarnya adalah gas nitrogen. Kenapa pula pengilang perlu isi plastik keropok anda dengan gas nitrogen? Pelik.

Sebenarnya gas nitrogen ini bertindak sebagai bahan pengawet yang melindungi kualiti keropok anda. Sekiranya plastik keropok anda diisi dengan udara biasa, kualiti keropok anda boleh terjejas sekali gus merosakkan produk tersebut.

Pada tahun 1994, saintis mendapati bahawa cip kentang yang terdedah kepada gas nitrogen bukan sahaja membuatkan ia lebih tahan lama, malah gas nitrogen juga mampu menjadikan keropok anda lebih sedap.

Anda pun, sudah tentu mahu menikmati keropok atau cip kentang yang masih elok dan sedap rasanya kan?

Tapi apa pun anda sebagai pengguna, sebenarnya anda boleh memilih keropok itu sendiri jika tidak mahu rasa tertipu, bayar mahal untuk angin.

Apa kata anda semak sahaja label pada bahagian plastik keropok terlebih dahulu sebelum beli. Semak berat bersih dan bandingkan dengan harga yang perlu anda bayar, berbaloi atau tidak.

BACA: “World Most Annoying Alarm”, Penggera Khas Untuk Mereka Yang Liat Bangun Tidur

Sumber: Reader Digest

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.