Ini Rupanya Fungsi Butang Merah Di Stesen Minyak
Apabila di stesen minyak, perkara pertama yang dilakukan adalah pergi ke kaunter untuk membayar jumlah pengisian minyak atau memilih untuk membuat sendiri dengan menggunakan aplikasi.
Sedang leka melakukan pengisian minyak, mata semestinya melilau melihat angka yang ditunjukkan selain memperhatikan keadaan sekeliling dengan pemikiran kosong.
Pun begitu, pernah tak ternampak butang warna merah yang berada di pam petrol semasa anda mengisi minyak kenderaan?
Sebagai manusia biasanya, pastinya tertanya-tanya tentang fungsi butang tersebut dan sebab ia diletakkan di tempat itu.
Perkongsian kali ini lebih kepada mengetahui fungsi kecemasan yang dipegang oleh butang merah itu dan bila waktu sesuai untuk menggunakannya.
Dalam video yang dimuat naik Petronas Sri Hartamas di Facebook, ia berkongsi kepada umum mengenai perkara yang perlu dibuat oleh orang ramai ketika berdepan waktu kecemasan.
Fungsi kecemasan butang merah itu adalah untuk menghentikan minyak secara automatik apabila ditekan.
Selepas butang ini ditekan oleh pengguna, maka secara tidak langsung pengisian juga akan terhenti.
Bila perlu guna butang warna merah ini?
Apabila melibatkan minyak, sudah tentu terdapat keburukan sekiranya tidak mengendalikan dengan baik dan ketika berada di stesen minyak, pelbagai perkara buruk boleh berlaku.
Oleh hal yang demikian, terdapat dua situasi yang diperlukan untuk butang merah ini digunakan.
Tumpahan minyak
Situasi pertama jika terjadinya tumpahan minyak di mana kereta terlebih minyak dan lain-lain.
Kebiasaannya, punca terjadinya tumpahan minyak disebabkan sensor yang ada dalam nozzle ini rosak.
Ketika kejadian berlaku, pengguna mestilah menekan butang warna merah itu dengan kadar segera untuk mengelakkan penumpahan yang lebih banyak.
Kebakaran
Situasi kedua pula sekiranya berlaku kebakaran semasa anda isi minyak. Kadang-kadang perkara ini tidak boleh dijangka oleh itu, pengguna digalakkan untuk menekan butang merah.
Perkara yang tidak boleh dilakukan adalah untuk mencabut nozzle daripada tangki minyak.
Pengguna perlu menekan butang warna merah kerana fungsi butang itu adalah untuk menghentikan aliran minyak dalam nozzle.
Apabila butang warna merah itu ditekan, minyak akan berhenti dan kebakaran tidak akan menjadi lebih teruk
Sumber: petronassrihartamas/Facebook