Siakap Keli
warna kereta burung
Kredit: Autoblog

Awas, Tiga Warna Kereta Ini Sering Jadi Pilihan Burung Buang Najis

Awas, Tiga Warna Kereta Ini Sering Jadi Pilihan Burung Buang Najis

Pernah tak terfikir, kenapa burung selalu buang najis atas kereta? Tidak kira sama ada di kawasan bandar atau pedalaman, pasti akan terlihat najis burung walaupun di kawasan tempat letak kenderaan.

Adakah disebabkan oleh kawasan parkir atau sememangnya tidak bernasib baik? Perkara tersebut akan membuatkan pemilik kereta kecewa lebih-lebih lagi apabila kenderaan itu baru dibasuh.

Tetapi apa sebenarnya sebab kereta sering diliputi najis burung? Kalau nak tahu perkara itu sering menimpa diri adalah disebabkan oleh warna kereta anda.

Kereta warna merah target utama burung

Gambar Hiasan: Clean Tehnica

Satu kajian telah mendedahkan bahawa kereta yang paling banyak terkena najis burung berbanding yang lain ialah kereta berwarna merah.

Perkara ini terbukti menerusi satu penyelidikan yang dijalankan oleh pengeluar alat ganti kereta United Kingdom, Halfords ke atas 1,140 buah kereta di lima bandar iaitu Brighton, Leeds, Glasgow, Manchester dan Bristol.

Hasil penyelidikan mendapati, kereta berwarna merah menjadi sasaran utama burung untuk membuang najis dengan mencatat angka tertinggi iaitu 18 peratus daripada keseluruhan sampel.

Selain itu, warna biru pula jatuh tempat kedua dengan sebanyak 14 peratus, hitam 11 peratus dan putih 7 peratus, manakala warna paling tidak diminati burung adalah hijau dengan  hanya serendah 1 peratus sahaja.

Semasa kajian, pemandu juga ditanya berapa cepat mereka membersihkan najis di kereta mereka. Difahamkan hanya 17 peratus, iaitu ⅙ (daripada kesemua sampel) berkata mereka akan terus membersihkan najis itu sesudah melihatnya.

Gambar Hiasan: BERNAMA

Selain itu, 20 peratus yang lain berkata mereka mengambil tindakan tersebut dalam beberapa hari, manakala 55 peratus pula menunggu sesi cucian kereta seterusnya.

Namun baki 8 peratus selebihnya pula mengatakan mereka tidak akan mencuci kereta mereka atau menyerahkan kepada orang lain untuk membersihkannya.

Selain tidak sedap dipandang, angka industri insurans menunjukkan najis burung pada kenderaan boleh menjadi masalah yang mahal dan menganggarkan kerosakan cat kereta menelan belanja berjuta-juta untuk setahun.

Penyelidikan ini sememangnya mempunyai sisi yang serius kerana masalah itu menganggu pemandu, menyebabkan cat kereta rosak serta menjejaskan nilai kenderaan.

Teori pemandu: bergantung kepada tempat letak kenderaan

Dalam pada itu, terdapat banyak teori yang dipaparkan dalam laman web mengenai sebab burung tertarik untuk membuang najis pada sesetengah kereta berbanding yang lain.

Sesetengah pemandu mengatakan ia bergantung kepada tempat letak kenderaan selain warna kereta yang digilap yang dilihat seakan-akan menyerupai warna air.

Yang lain berpendapat burung melihat merah sebagai bahaya, contohnya di pusat peranginan tepi pantai, burung camar mungkin menyasarkan kereta putih manakala di bandar burung merpati mungkin memilih kelabu.

Kajian Halfords mendapati burung memilih warna yang berbeza ketika berada di bandar dan tepi laut. Dalam pada itu, pakar pengilat kereta terkemuka di Autoglym berkata kerosakan pada cat kenderaan bukan daripada asid atau alkali dalam najis burung, tetapi daripada lakuer cat.

Lakuer cat yang menjadi lembut dan kembang menyebabkan cat di sekitar bahagian najis yang jatuh, menghasilkan tompok yang kusam. Tekstur najis yang dihasilkan daripada burung menghasilkan paling banyak kecacatan, oleh sebab itu burung merpati lebih teruk daripada semua burung.

Panduan ringkas bersihkan kereta daripada najis

Gambar Hiasan: Careta

Pun begitu, kecacatan kekal pada kereta boleh dicegah sekiranya pemilik membuang najis secepat mungkin. Sekiranya menjumpai najis burung pada kereta, ikuti panduan ringkas tentang cara membuangnya di bawah ini.

Yang pertama, bersihkan najis tersebut dengan secepat mungkin. Kemudian, gunakan kain lembap untuk mengangkat perlahan-lahan mendapan dari permukaan kenderaan.

Sekiranya najis berada dalam keadaan kering atau tidak mudah terangkat, letakkan kain lembap di atasnya selama 10 minit supaya ia menjadi ‘lembut’.

Selain itu, buang sebarang kain yang digunakan untuk mengelap najis dan basuh tangan dengan segera kerana kapur burung boleh membawa penyakit.

Sumber: Autoblog / Business Insider / Ornithology

BACA: Berbaloi Ke? Lelaki Kongsi 2 Sebab Kenapa Ramai Takut Beli Kereta Mewah “Second Hand”

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.