Adili Perlawanan Indonesia-Argentina, Pengadil Malaysia Raih Pujian
KUALA LUMPUR — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan pengadil Malaysia meraih pujian selepas berjaya menampilkan mutu pengadilan sewaktu mengendalikan perlawanan persahabatan di antara Indonesia dan Argentina Isnin lalu.
Tiga pengadil dari Malaysia, Muhammad Usaid Jamal sebagai pengadil utama, Mohd Mu’azi Zainal Abidin sebagai pembantu pengadil pertama dan Nadziran Eziz sebagai pembantu pengadil kedua telah ditugaskan dalam perlawanan tersebut.
Jelas FAM dalam satu kenyataan, ketiga-tiga mereka mendapat pujian daripada peminat bola sepak di Indonesia.
“Prestasi yang ditunjukkan oleh mereka bertiga rata-rata telah mendapat pujian dan sanjungan daripada penyokong bola sepak di Indonesia.
“Muhammad Usaid telah menunjukkan satu prestasi yang cukup matang dalam perlawanan tersebut. Ia bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan juara dunia dan gergasi Amerika Selatan itu memiliki beberapa pemain yang terbaik dan terhandal di dunia.
“Beliau pernah terlibat dalam tiga perlawanan antarabangsa termasuk semalam. Selain Singapura menentang Vietnam di kejohanan Piala AFF pada penghujung tahun 2022 dan perlawanan persahabatan Indonesia menentang Palestin baru-baru ini.
“Bagi Mohd Mu’azi yang kini berumur 36 tahun pula, beliau sudah memiliki pengalaman luas mengadili perlawanan tertinggi di FIFA dan AFC.
“Beliau merupakan antara Penolong Pengadil yang konsisten dengan prestasinya. Beliau juga telah terlibat dengan kejohanan Asia Cup 2018 di UAE.
“Manakala Nadziran Eziz merupakan seorang Penolong Pengadil yang sedang meningkat naik. Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang di Liga Super Malaysia,” maklum FAM.
BACA JUGA: Isu Mutu Pengadilan Perlawanan Malaysia-Vietnam, FAM Hantar Surat Rasmi Kepada AFF
Kritikan Mutu Pengadilan Yang Kurang Profesional
Meskipun pelbagai kritikan dilontarkan terhadap pengadil-pengadil tempatan kerana dianggap lemah dan prestasi yang sering dipersoalkan dalam Liga Malaysia.
Namun, terdapat juga dalam kalangan mereka yang masih mendapat kepercayaan daripada AFC, FIFA dan juga daripada negara-negara jiran.
Khidmat Pengadil serta Penolong Pengadil sering ditagih melibatkan perlawanan liga dan Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
“Walaupun ada kalanya pengadil kita juga pernah melakukan kesilapan yang pernah dilakukan oleh pengadil-pengadil Piala Dunia FIFA. Dan ini merupakan adat permainan bola sepak.
“Ini tidak bermakna Pengadil dan Penolong Pengadil Malaysia tidak bertaraf antarabangsa, pegawai perlawanan ‘Man in Black’ dari Malaysia masih dipandang tinggi dan digeruni di peringkat Asia dan dunia,” Jelas FAM.
Sumber: FAM